
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara peperiksaan terpenting dalam kehidupan seorang murid kerana keputusan yang diperoleh boleh mempengaruhi hala tuju pendidikan dan masa depan mereka.
Bagaimanapun, ada kalanya perkara tidak dijangka berlaku sehingga menyebabkan seseorang murid berdepan kesukaran untuk tiba di dewan peperiksaan tepat pada waktunya.
Begitulah kisah dua murid di St. John's Institution yang terkandas susulan gangguan kepada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pada pagi tadi.
Tindakan Pantas Guru Ambil Dua Murid Terkandas

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook St. John's Institution, pengetuanya, T. Sivakumar memuat naik beberapa foto sebagai tanda penghargaan kepada seorang tenaga pengajar dikenali sebagai Hafizan.
Menurut Sivakumar, selepas mendapat tahu dua murid mereka terkandas, Hafizan yang juga merupakan Penyelia Tingkatan 5 segera bergegas ke lokasi mereka.
Walaupun kedua-dua murid tersebut berada di stesen berbeza iaitu LRT Jelatek dan LRT Kampung Baru, Hafizan tetap berusaha mendapatkan kedua-duanya.
Beliau kemudian mengambil setiap murid secara berasingan dengan menaiki motosikal bagi memastikan mereka dapat tiba di sekolah dan menduduki peperiksaan mengikut masa yang ditetapkan.
Menerusi perkongsian sama, Sivakumar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Hafizan atas komitmen dan tindakan pantasnya dalam memastikan kedua-dua murid tidak terlepas kertas Matematik SPM.
"Pagi ini berlaku gangguan perjalanan LRT dan 2 murid mengalami kelewatan hadir ke sekolah.
"Tindakan pantas En. Hafizan selaku Penyelia Tingkatan 5 yang pergi mengambil mereka di stesen LRT Jelatek dan Kampung Baru dapat memastikan murid dapat menduduki kertas matematik mengikut masa peperiksaan.
"Terima kasih En. Hafizan atas komitmen dan tindakan pantas demi kelangsungan kecemerlangan spm SJI," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut mengucapkan tahniah selain meluahkan rasa hormat terhadap pengorbanan dan keprihatinan guru tersebut.
"Itulah pengorbanan guru. Buatlah yang terbaik demi membalas jasa mereka walaupun yang terbaik itu menjadi milikmu sebenarnya," tulis ShaFa Ahmad.
"Wow! Respectlah semua sekolah harian yang muridnya tengah ambil SPM. Mereka dah siap 'plan of action' jika ada masalah dalam perjalanan murid ke dewan peperiksaan! Rasanya semua sekolah ada kot. Alhamdulillah," kata Noorizah Mokhtar.
Baca juga:



