LRT Kelana Jaya Tergendala, Ini Kata Menteri Pengangkutan

LocalPolitics
25 Feb 2026 • 8:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengakui beliau memandang serius beberapa insiden gangguan melibatkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada awal Ramadan ini. Untuk itu, beliau telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap insiden terbabit.

Menurutnya, rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan boleh diharap.

"Saya telah mengarahkan CEO Prasarana untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca-kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera.

"Saya juga akan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat insiden-insiden tersebut dan mengambil tindakan terhadap Prasarana sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah," katanya di halaman Facebook miliknya, semalam.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sekali lagi pagi tadi sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen.

Gangguan turut berlaku pada waktu puncak pagi semalam, selepas beberapa unit tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat isu teknikal sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan keresahan pengguna pengangkutan awam.