LRT3 mudahkan urusan harian, pengguna nikmati perjalanan lebih pantas

2 Jul 2026 • 6:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

LRT3 mudahkan urusan harian, pengguna nikmati perjalanan lebih pantas

KLANG, 2 JULAI: Pembukaan stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) memberi manfaat kepada pengguna apabila memudahkan urusan harian selain menawarkan perjalanan yang lebih pantas berbanding sebelum ini.

Penuntut kolej, T Harshini, 19, berkata perkhidmatan LRT3 membantu mengurangkan tempoh perjalanan ke kolejnya di Brickfields dari dua jam kepada satu jam setengah.

“Saya telah gunakan perkhidmatan LRT3 ini selama empat hari sejak dilancar… senang dan cepat. Sebelum ini naik pengangkutan awam lain kira-kira dua jam, dengan LRT3 satu jam setengah sahaja.

Image from: LRT3 mudahkan urusan harian, pengguna nikmati perjalanan lebih pantas
Penuntut kolej, T.Harshini, 19, ditemui media ketika tinjauan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada 2 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Dengan adanya LRT3 ini sangat jimat, persekitaran dan tren juga sangat baik,” katanya ketika ditemui di Stesen Seri Andalas hari ini.

Sementara itu, eksekutif bank Erni Farisha Mohd Ramli, 41, berkata penggunaan LRT3 membolehkannya mengelak kesesakan lalu lintas ketika berulang-alik dari Glenmarie ke Seri Andalas.

“Saya dari Glenmarie ke Seri Andalas mengambil masa 40 minit. Biasanya saya memandu tetapi dengan adanya LRT3 lebih cepat, tidak perlu menempuh kesesakan.

Image from: LRT3 mudahkan urusan harian, pengguna nikmati perjalanan lebih pantas
Eksekutif bank Erni Farisha Mohd Ramli, 41, ditemui media ketika tinjauan di stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Seri Andalas pada 2 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Setakat ini semua baik cuma saya cadangkan sediakan shuttle untuk terus ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kerana agak sukar dan jauh juga untuk berjalan terutama kepada pesakit,” ujarnya.

Bagi V Mogan, 65, orang ramai perlu memanfaatkan kemudahan awam itu dengan sebaiknya supaya perkhidmatan berkenaan dapat terus dinikmati dalam tempoh jangka masa panjang.

“Saya berjalan kaki ke stesen ini untuk ke Pasar Jawa. Saya jalan kaki boleh juga senaman dan pertama kali naik LRT3 sebab nak cuba selain tidak perlu memandu.

Image from: LRT3 mudahkan urusan harian, pengguna nikmati perjalanan lebih pantas
V Mogan, 65, ditemui media ketika tinjauan di stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Seri Andalas pada 2 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Harapan saya orang ramai gunakan kemudahan dengan baik,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Lu Sim Hoay, 77, berkata kewujudan LRT3 memudahkannya ke destinasi tanpa perlu memikirkan kesesakan lalu lintas dan masalah mendapatkan parkir.

“Hari ini saya hendak ke One Utama untuk berjumpa dengan kawan. Selalunya saya memandu tetapi kini ada LRT3 sangat mudah.

Image from: LRT3 mudahkan urusan harian, pengguna nikmati perjalanan lebih pantas
Lu Sim Hoay, 77, ditemui media ketika tinjauan di stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Seri Andalas pada 2 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Senang saya tidak perlu cari tempat letak kenderaan atau hadapi kesesakan lalu lintas,” katanya.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berharap pembukaan stesen LRT3 baru-baru ini, berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berharap kemudahan itu memberi pilihan perjalanan lebih pantas, selesa dan selamat khususnya buat warga Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Baginda mahu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dapat menyelenggara semua laluan LRT3 tersebut dengan baik supaya ia dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam membabitkan pelaburan RM16.63 bilion antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Image from: LRT3 mudahkan urusan harian, pengguna nikmati perjalanan lebih pantas
Orang ramai menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ketika tinjauan di Stesen Glenmarie 2 pada 29 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved