LRT3 pacu ekonomi Selangor, tarik pelaburan baharu, tingkat peluang pekerjaan

LocalBusiness & Finance
1 Jul 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

LRT3 pacu ekonomi Selangor, tarik pelaburan baharu, tingkat peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang dibuka secara rasmi kelmarin dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di Selangor.

Bekas Profesor Madya Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Kuppusamy Singaraveloo berkata, kewujudan rangkaian pengangkutan awam itu akan merancakkan aktiviti ekonomi khususnya di kawasan sekitar stesen LRT.

Menurut beliau, pembukaan LRT3 dijangka menarik lebih banyak pelaburan serta kemunculan pelbagai jenis perniagaan termasuk kedai runcit, pusat beli-belah, pasar raya dan premis makanan.

"Bila ada LRT3 ini, kawasan sekitar stesen akan rancak dengan pelbagai perniagaan. Kedai runcit baharu, mall moden, pasar raya dengan kedai makan akan mula dibuka, jadi ekonomi setempat akan naik mendadak," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, perkembangan sektor perniagaan itu secara tidak langsung akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Dr Kuppusamy turut menjelaskan bahawa masyarakat kini lebih cenderung memilih kawasan kediaman yang mempunyai akses mudah kepada pengangkutan awam sekali gus dijangka meningkatkan nilai hartanah berhampiran stesen LRT3.

Menurutnya, peningkatan permintaan terhadap kawasan berkenaan juga berpotensi menyebabkan kadar sewa rumah meningkat pada masa depan.

Beliau berkata, perkhidmatan e-hailing dan teksi turut dijangka menerima manfaat apabila lebih ramai pengguna memerlukan pengangkutan bagi perjalanan ke dan dari stesen LRT.

"Pemandu e-hailing dan pemandu teksi pun akan dapat sambutan. Sebabnya, orang ramai naik Grab atau teksi untuk ulang-alik dari rumah ke stesen LRT," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan penggunaan LRT3 berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas sekitar Selangor dan Lembah Klang antara 15 hingga 20 peratus selain membantu mengurangkan pencemaran udara akibat pengurangan jumlah kenderaan di jalan raya.

Bagaimanapun, Dr Kuppusamy menegaskan kejayaan keseluruhan projek bergantung kepada keberkesanan sistem ketersambungan "first mile" dan "last mile", termasuk penyediaan perkhidmatan bas pengantara atau van yang mencukupi bagi memudahkan perjalanan pengguna dari rumah ke stesen dan seterusnya ke destinasi.

Untuk rekod, beliau merupakan antara ahli panel pakar yang terlibat dalam fasa perancangan awal projek LRT3.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved