johardy04/11/2026 - 11:29 KUALA LUMPUR 4 Nov - Institusi kewangan bukan bank (NBFI) termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Amanah Raya Bhd. tidak tertakluk kepada rangka kerja kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, tadbir urus korporat dan pengurusan institusi berkenaan dikawal selia mengikut akta masing-masing serta rangka kerja tadbir urus yang berkaitan.
Bagaimanapun, institusi kewangan bukan bank digalakkan merujuk kepada Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) dan Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi yang menetapkan prinsip tadbir urus korporat berdasarkan amalan antarabangsa serta prinsip yang diterima di peringkat global.
Kementerian itu menjelaskan perkara berkenaan menerusi jawapan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang meminta penjelasan mengenai langkah mengawal selia tadbir urus korporat dan pengurusan berhemat institusi kewangan bukan bank melalui SC.
Menurut MOF, walaupun LTAT tidak tertakluk sepenuhnya kepada penyeliaan SC, aktiviti pelaburan dan urus niaga korporatnya yang melibatkan syarikat tersenarai tetap tertakluk kepada keperluan kawal selia suruhanjaya berkenaan.
Urus niaga LTAT tetap tertakluk kepada peraturan SC
Keperluan tersebut termasuk urusan pengambilalihan, penggabungan dan pengambilalihan mandatori.
LTAT turut bekerjasama rapat dengan SC bagi memastikan urus niaga berkaitan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Bagi KWSP pula, aktiviti pelaburannya dalam pasaran modal domestik dilaksanakan mengikut undang-undang, peraturan dan piawaian pasaran yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.
Ini termasuk Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta garis panduan yang dikeluarkan SC.
Sementara itu, MOF menjelaskan penyeliaan SC terhadap Amanah Raya hanya melibatkan aktiviti pasaran modal yang dijalankan oleh anak syarikatnya.
Penyeliaan Amanah Raya terhad kepada aktiviti pasaran modal
Anak syarikat berkenaan termasuk AmanahRaya Trustees Bhd., AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. dan AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd.
Menurut kementerian itu, rangka kerja pendaftaran, pelesenan dan pematuhan berkenaan menyokong pengurusan berhemat, akauntabiliti serta perlindungan kepentingan pelanggan dan pelabur.
KWAP pula mempunyai rangka kerja tadbir urus yang menyeluruh dengan mengambil kira amalan terbaik tadbir urus korporat, termasuk prinsip yang digariskan dalam MCCG. — BERNAMA

