LTAT Perjelas Isu Boustead Plantations, Pembida Dinilai Ikut Kriteria Ketat

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 10:27 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tampil memberikan penjelasan berhubung cadangan transaksi melibatkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) selepas perkara itu mendapat perhatian menerusi laporan media baru-baru ini.

Menurut LTAT, setiap pembida yang terlibat dalam cadangan transaksi berkenaan dinilai berdasarkan kriteria khusus yang telah ditetapkan lebih awal menerusi proses bidaan kompetitif dengan mengutamakan integriti dan tadbir urus yang baik.

Pembida mesti terdiri daripada GLC atau Bumiputera

Antara syarat utama ditetapkan ialah pembida mestilah terdiri daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan/atau syarikat Bumiputera, dengan status tersebut disahkan oleh penasihat pihak ketiga yang bebas.

LTAT memaklumkan hanya calon yang memenuhi syarat berkenaan akan dipelawa untuk menyertai proses bidaan.

Selain status syarikat, penilaian turut mengambil kira keupayaan pembiayaan, kebolehan menyempurnakan urus niaga serta kesesuaian strategik setiap pembida.

Image from: LTAT Perjelas Isu Boustead Plantations, Pembida Dinilai Ikut Kriteria Ketat

Foto: NST

Dalam hal ini, LTAT menjelaskan bahawa kesesuaian pembida tidak ditentukan berdasarkan saiz syarikat semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kemampuan dan komitmen jangka panjang mereka.

Malah, kesinambungan komitmen sedia ada terhadap komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menjadi antara pertimbangan penting bagi memastikan kepentingan pencarum LTAT terus terpelihara.

Setiap aktiviti perlu lalui proses kelulusan ketat

Pada masa sama, LTAT menjelaskan bahawa setiap aktiviti pelaburan utama perlu melalui proses kelulusan yang ketat membabitkan Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah serta pihak berkuasa kawal selia berkaitan.

Berhubung cadangan transaksi BPlant, LTAT mengesahkan semua pembida yang terlibat merupakan GLC dan/atau syarikat Bumiputera, selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut LTAT, proses penilaian yang dilaksanakan bertujuan memastikan keputusan pelaburan dibuat secara bertanggungjawab, selain melindungi kredibiliti serta tadbir urus institusi berkenaan.

Image from: LTAT Perjelas Isu Boustead Plantations, Pembida Dinilai Ikut Kriteria Ketat

Foto: Utusan Malaysia

Walau bagaimanapun, LTAT memaklumkan transaksi tersebut masih melalui proses yang sedang berjalan dan belum ada sebarang perjanjian muktamad dimeterai.

Sehubungan itu, sebarang pengumuman atau pendedahan lanjut hanya akan dibuat pada masa yang bersesuaian mengikut keperluan.

LTAT turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan mandat pelaburan secara tegas dan bertanggungjawab dengan sentiasa mengutamakan kepentingan anggota ATM yang menjadi pencarum institusi tersebut.

The post LTAT Perjelas Isu Boustead Plantations, Pembida Dinilai Ikut Kriteria Ketat appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved