
BALING: Sebuah van yang membawa pasukan Giant Cycling Team terbabit dalam kemalangan semasa perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Jeli, Kelantan ke Baling, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal, berkata van yang membawa pasukan berpangkalan di China itu dilaporkan terbalik semasa berada di zon neutral perlumbaan di hadapan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli, kira-kira 10 pagi tadi.
“Tiga pelumba pasukan, Lin Chuanyang, Wang Zichen dan Huang Junlei berada di dalam van ketika kemalangan itu berlaku.
Mereka sebenarnya tidak dapat berlumba hari ini, kerana dibatalkan penyertaaan selepas tiba lewat di pelepasan yang terletak di UMK. Bagaimanapun tiada kecederaan serius berlaku,“ katanya ketika dihubungi.
Giant Cycling Team mempertaruhkan empat pelumba pada LTdL 2023, dan kejadian itu bagaimanapun tidak menimpa seorang lagi pelumba pasukannya Deng Penghai, yang difahamkan sempat memulakan perlumbaan peringkat ketiga tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran LTdL Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata kesemua pelumba telah dibawa ke Hospital Jeli bagi mendapatkan rawatan.
“Tiada kecederaan serius melibatkan pemandu dan pelumba. Kesemua telah dibenarkan keluar dari hospital dan telah dalam perjalanan ke hotel bagi menghadapi perlumbaan berikutnya di Butterworth.
“Laporan polis telah buat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli. Kejadian terjadi akibat daripada pemandu terlajak daripada tempat permulaan bagi peringkat ketiga dan telah terbabas di tebing jalan sebelum terbalik,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Giant Cycling Team Guo Qiang Song, memaklumkan pasukannya mengambil keputusan untuk tetap meneruskan perlumbaan berbaki lima peringkat itu.
LTdL 2023 setakat ini telah mengharungi tiga daripada lapan peringkat perlumbaan meliputi jarak sejauh 556.7km.
Perlumbaan peringkat keempat meliputi jarak 140.2km esok, dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, Perak menawarkan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Talang dan Sungai Siput selain satu zon pendakian kategori tiga di Kuala Kangsar. -Bernama

