Lubang Benam Di Melaka, Mujur Tiada Kemalangan Jiwa

30 Nov 2025 • 10:45 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Kegagalan struktur pembentung bawah tanah (culvert)dipercayai punca kejadian lubang benam yang berlaku di laluan Jalan Persekutuan FT033, Seksyen 22.0 Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) menghala ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka malam tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata siasatan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati pembentung bersaiz 1.8 meter x 1.8 meter sepanjang 40 meter pada kedalaman 10 hingga 11 meter itu didapati gagal berfungsi sehingga menyebabkan mendapan serius di permukaan jalan.

image is not available

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap keseluruhan jajaran pembentung yang merentasi Lebuh SPA bagi memastikan tiada risiko kejadian berulang.

"Kita akan lihat keseluruhan struktur pembentung sepanjang jalan ini dan tidak mustahil bahagian lain juga mungkin mempunyai masalah yang sama," katanya selepas meninjau lokasi mendapan tanah itu hari ini.

Kejadian lubang benam bersaiz kira-kira 10 meter panjang dan lima meter lebar itu disedari berlaku pada jam 11.18 malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan atau kejadian tidak diingini membabitkan pengguna jalan raya dilaporkan.