Lubang benam, hakisan tanah membimbangkan

28 Jul 2026 • 12:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lubang benam, hakisan tanah membimbangkan
Hafizul (kiri) menunjukkan beberapa kerosakan yang berlaku di laluan Jambatan Sungai Galing ketika Chon Siang lokasi berkenaan yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan projek berkenaan pada Selasa. Foto Sinar Harian.
Image from: Lubang benam, hakisan tanah membimbangkan
Lubang kecil muncul di laluan Jambatan Sungai Galing menghala ke Berserah. Foto Sinar Harian
Image from: Lubang benam, hakisan tanah membimbangkan
Chon Siang (kanan) melihat keadaan sebenar di Jambatan Sungai Galing yang mendapan ketika meninjau lokasi berkenaan yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan projek berkenaan pada Selasa. Foto Sinar Harian.

KUANTAN – Kerja baik pulih  jalan di Jambatan Sungai Galing menghala ke Beserah perlu disegerakan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kepada pengguna susulan penutupan sebahagian laluan berkenaan bermula tengah malam ini.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, kerja berkenaan perlu dilaksanakan segera berikutan keadaan hakisan di bawah struktur jambatan yang semakin serius.

"Kerja pembaikan itu dijangka mengambil masa antara 20 hingga 30 hari, namun berharap projek berkenaan dapat disiapkan lebih awal.

**media[3597120]**

"Untuk pengguna jalan yang guna jalan ini, sabarlah. Masa diberikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam 30 hari dan saya harap dalam 20 hari sudah boleh siap projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi berkenaan yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan projek berkenaan pada Selasa.

Hadir sama dalam tinjauan itu, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuantan, Hazilawati Mohd Sadali dan kontraktor projek, Hafizul Amir Abdullah.

Sebelum itu, Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum berkata, walaupun kerosakan yang dilihat di permukaan hanya kelihatan seperti lubang kecil, keadaan sebenar di bahagian bawah struktur jambatan lebih membimbangkan.

"Saya pernah turun melihat keadaan di bawah dan mendapati sokongan struktur jambatan ini sebelum ini menggunakan kayu yang kini sudah reput.

"Sebab itu kita tidak boleh mengambil mudah kaedah pembaikan. Kita perlu bina benteng terlebih dahulu, kemudian buka kawasan terjejas serta turap semula menggunakan konkrit.

"Kaedah ini lebih relevan untuk jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Hafizul berkata, pembinaan tembok penahan konkrit bertetulang di kedua-dua sisi sambungan Jambatan Sungai Galing diyakini mampu menjadi penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah mendapan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kerja pembaikan melibatkan pengorekan kawasan sepanjang 22 meter dengan kelebaran 10 meter sebelum kerja pembinaan struktur penahan, pemadatan semula tanah dan penurapan jalan dilakukan.

"Selepas kerja pengorekan, kita akan bina tembok penahan konkrit bertetulang, kemudian buat kerja pemadatan lapisan asas dan lapisan bawah asas sebelum menurap semula dengan premix.

"Struktur itu akan mengukuhkan bahagian sambungan supaya lebih stabil," katanya.

Beliau berkata, tembok penahan berkenaan akan dibina di kedua-dua belah jambatan dengan kedalaman kira-kira dua meter, manakala ketinggiannya bergantung kepada keadaan sebenar di tapak.

Mengulas mengenai punca mendapan, Hafizul menjelaskan masalah itu bukan melibatkan struktur utama Jambatan Sungai Galing, sebaliknya berlaku pada bahagian sambungan antara tanah asal dengan jambatan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan wujud ruang yang akhirnya mengakibatkan mendapan atau lubang benam di bahagian pintu masuk dan keluar jambatan.

"Mendapan itu bukan berlaku di tengah-tengah jambatan kerana struktur bahagian tersebut masih kukuh.

"Ia berlaku di bahagian sambungan apabila terdapat ruang yang menyebabkan mendapan," katanya.

Beliau berkata, faktor seperti hakisan akibat banjir, aliran air serta pergerakan tanah sejak jambatan itu dibina dipercayai antara penyumbang kepada masalah berkenaan.

**media[3597121]**

Dalam pada itu, Hafizul berkata, aspek kawalan lalu lintas turut diberi perhatian sepanjang tempoh pembaikan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, kira-kira 600 penghadang plastik akan digunakan selain papan tanda keselamatan dan petugas trafik ditempatkan di lokasi terutama pada hari-hari awal pelaksanaan lencongan jalan.

"Lampu isyarat sedia ada tidak akan ditutup, sebaliknya aliran trafik hanya dilencongkan sepanjang kerja pembaikan dijalankan," katanya.

Kos keseluruhan kerja pembaikan itu dianggarkan berjumlah RM420,000 termasuk kerja penurapan semula dan pengurusan kawalan trafik.

 

 

 

 

 

 

 

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved