
SHAH ALAM, 18 OGOS: Kerja menimbus dan membaik pulih kawasan korekan susulan pemasangan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Taman Belida hingga Desa Sebarau, Ulu Yam Lama dilaksanakan hari ini.
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Zon 13 Chinniah Subramaniam berkata tindakan itu dilaksanakan kontraktor TNB sehari selepas lawatan susulan bersama Jabatan Kejuruteraan MPHS dan TNB.
Menurutnya, lawatan berkenaan dibuat susulan aduan berkaitan lubang korekan yang masih belum ditimbus selepas kerja pemasangan kabel di sepanjang laluan terbabit.
"Pihak kontraktor telah mengambil tindakan segera menimbus semula lubang korekan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin, khususnya penduduk Taman Belida dan Desa Sebarau.
"Terima kasih kepada Jabatan Kejuruteraan MPHS, pihak TNB dan kontraktor atas kerjasama pantas dalam menyelesaikan isu ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Chinniah memberitahu, pemantauan terhadap keadaan infrastruktur di Zon 13 akan diteruskan bagi memastikan setiap aduan penduduk diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.
"Kita terus komited menjaga kebajikan penduduk serta memastikan keselamatan infrastruktur di Zon 13 sentiasa diberi keutamaan, ujarnya.
Semalam, terdapat aduan berhubung lubang korekan yang belum ditimbus serta kerosakan longkang dan dinding longkang susulan kerja pemasangan kabel di sepanjang laluan berkenaan.
Susulan lawatan itu, kontraktor TNB diarahkan mengambil tindakan segera bagi membaik pulih kerosakan yang dikenal pasti.
