Lubnan, Israel sambung rundingan langsung di Rom

WorldPolitics
5 Aug 2026 • 11:16 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lubnan, Israel sambung rundingan langsung di Rom

ROM: Lubnan dan Israel mengadakan pusingan baharu rundingan yang ditaja Amerika Syarikat (AS) di Rom, dengan Beirut berusaha mendapatkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan negara itu.

Konvoi yang membawa delegasi kedua-dua negara tiba pada waktu pagi di Kedutaan AS di ibu negara Itali itu bagi menyertai rundingan yang dijadual berlangsung sehingga Khamis.

“AS kekal komited sepenuhnya untuk menyokong kedua-dua kerajaan dalam meneruskan proses ini dengan cara yang dapat menjamin keselamatan berkekalan kepada kedua-dua negara, menghapuskan ancaman keselamatan terhadap Israel serta memulihkan kuasa kerajaan Lubnan di seluruh wilayah selatan,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott menerusi platform X.

Dalam rundingan di Washington pada Jun lalu, Israel dan Lubnan bersetuju dengan satu rangka kerja yang melibatkan pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan itu, bermula di zon percubaan yang dikenali sebagai ‘zon perintis’.

Rundingan minggu ini merupakan pusingan ketujuh yang dimediasi Washington sejak Hizbullah mengheret Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada Mac menerusi serangan roket ke atas Israel sebagai sokongan kepada sekutunya, Iran.

Israel kemudian membalas dengan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat yang menurut Lubnan mengorbankan lebih 4,300 orang.

Ketua Hizbullah, Naim Qassem berkata, rundingan secara langsung itu tidak membawa apa-apa selain rasa malu, penghinaan dan kompromi yang berterusan kepada Lubnan.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, beliau turut mengkritik Presiden Lubnan, Joseph Aoun dengan mendakwa pemimpin itu tidak bertindak sebagai pengadil mahupun tokoh penyatu, sebaliknya menjadi berat sebelah dan memecahbelahkan, yang tidak selaras dengan peranannya serta kekuatan Lubnan.

Pada Isnin, Menteri Luar Itali, Antonio Tajani menggesa Lubnan dan Israel supaya meneruskan rundingan dalam semangat membina serta mencari penyelesaian bersama yang membolehkan pelaksanaan sepenuhnya perjanjian rangka kerja, menurut kenyataan kementeriannya.

Selepas rundingan bulan lalu, tentera Israel berundur dari pinggir kampung Zawtar al-Gharbiya, yang menjadi antara zon perintis pertama.

Tentera Lubnan kemudian ditempatkan di kawasan itu dan membenarkan penduduk memeriksa rumah serta premis perniagaan mereka.

Dalam mesyuarat Kabinet pada Isnin, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam berkata, negaranya sedang meneruskan usaha ke arah pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan sehingga pengunduran sepenuhnya tercapai.

Seorang pegawai Jabatan Negara AS sebelum ini memberitahu AFP, perbincangan minggu ini akan merangkumi perluasan proses zon perintis, penyelesaian semua isu sempadan yang masih tertunggak serta usaha mencapai perjanjian damai dan keselamatan yang menyeluruh.

Pada Isnin, Duta AS ke Lubnan, Michel Issa memberi amaran tindakan yang terlalu pantas berisiko menjejaskan orang awam yang sebenarnya ingin dilindungi melalui proses tersebut.

“Adalah lebih baik mengambil masa yang diperlukan supaya proses ini dilaksanakan dengan betul sejak awal. Dengan cara itu, zon perintis seterusnya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

“Kedua-dua pihak perlu bersetuju mengenai satu proses yang jelas dan boleh dilaksanakan sebelum meneruskannya.”

Penempatan tentera Lubnan menjadi ujian besar, dengan pakar mempersoalkan kemampuan pihak berkuasa melucutkan senjata Hizbullah, yang menentang perjanjian dengan Israel dan enggan menyerahkan senjatanya, selain menghalang sebarang aktiviti ketenteraan oleh kumpulan bukan negara.

Pemerhati turut berpendapat komitmen Israel untuk berundur akan diuji apabila zon perintis dipilih di kawasan yang masih berada di bawah pendudukan penuh rejim Zionis.

Keganasan di Lubnan berkurangan sejak termeterainya perjanjian Lubnan-Israel serta pemeteraian perjanjian awal AS-Iran pada Jun berkaitan konflik Asia Barat.

Namun, Lubnan masih melaporkan serangan udara dan bedilan berkala oleh Israel, selain letupan dan operasi perobohan di kampung-kampung di selatan negara itu.-AFP

The post Lubnan, Israel sambung rundingan langsung di Rom appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved