Luca Sickta, Kmy Kmo bakal terbit album Nusantara, sasar tembusi pasaran Indonesia

EntertainmentMusic
4 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Luca Sickta, Kmy Kmo bakal terbit album Nusantara, sasar tembusi pasaran Indonesia

KUALA LUMPUR: Duo rap, Kmy Kmo dan Luca Sickta bakal melebarkan sayap ke pasaran Indonesia menerusi pelancaran album sulung mereka yang masih dirahsiakan judulnya, bulan depan.

Menurut Kmy Kmo atau Lukmanul Hakim, 37, album berkenaan turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi sinden muda Indonesia, Niken Salindry, sekali gus memperkukuhkan konsep muzik Nusantara yang menjadi identiti mereka.

“Kami akan mengadakan jelajah promosi di Indonesia kerana sudah menjalin kolaborasi dengan artis di sana, iaitu Niken Salindry yang baru berusia 18 tahun. Matlamat utama kami adalah untuk menyatukan bunyian muzik Malaysia dan Indonesia.

“Kita sebenarnya serumpun. Sebab itu kami bersungguh-sungguh mahu membawa konsep Nusantara ini ke persada dunia,” katanya ketika ditemui *Utusan Malaysia*, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kmy berkata, impian menghasilkan album berteraskan konsep Nusantara sebenarnya sudah lama dipendam, namun sukar direalisasikan kerana kurang mendapat keyakinan daripada pihak tertentu.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama dengan Sony Music Malaysia membuka ruang untuk mereka merealisasikan hasrat tersebut.

“Baru sekarang orang mula percaya kepada kami. Sebelum ini, ramai yang memandang ragu terhadap apa yang ingin kami lakukan.

“Alhamdulillah, bersama syarikat rakaman baharu, Sony Music Malaysia, mereka memahami visi kami dan memberikan kepercayaan penuh untuk merealisasikan album ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, duo yang popular menerusi lagu *7 Nasihat* itu turut mendedahkan pernah membuat persembahan tanpa menerima sebarang bayaran selama hampir sedekad demi membina nama dan mengumpul pengalaman dalam industri muzik.

Mengenai album sulung berkenaan, Kmy berkata, ia bakal memuatkan 10 buah lagu dengan kira-kira 60 peratus daripadanya merupakan karya baharu yang masih mengekalkan identiti muzik Nusantara sebagai teras utama.

Selain Niken Salindry, album itu turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama seorang nama besar dalam industri muzik tanah air yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu. Bagaimanapun, identiti penyanyi berkenaan bagaimanapun masih dirahsiakan. -UTUSAN

The post Luca Sickta, Kmy Kmo bakal terbit album Nusantara, sasar tembusi pasaran Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved