SHAH ALAM – Kerajaan digesa menjelaskan pendirian semasa berhubung reformasi Akta Hasutan 1948 bagi memastikan keyakinan awam terhadap institusi negara kekal terpelihara.
Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Wan Rohimi Wan Daud berkata, perkara itu penting kerana Akta Hasutan 1948 telah lama menjadi subjek perbahasan dasar, termasuk komitmen terdahulu oleh pimpinan Pakatan Harapan untuk menilai semula kedudukan akta tersebut dalam kerangka reformasi undang-undang.
“Penekanan berterusan terhadap penggunaan Akta Hasutan dalam konteks perbincangan awam wajar disertai dengan penjelasan dasar yang lebih konsisten.
“Hal ini dilakukan agar tidak menimbulkan persepsi bahawa terdapat percanggahan antara komitmen reformasi dan pendekatan semasa,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan trend perdebatan di media sosial untuk menyebarkan hantaran atau komen berbaur hasutan serta provokatif mengenai dasar kerajaan dan isu semasa.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang melarang sebarang perbuatan, ucapan atau penerbitan yang cenderung menghasut atau menimbulkan kebencian terhadap institusi diraja dan kerajaan.
Dalam pada itu, Wan Rohimi berkata, Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bercakap dan bersuara, tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan oleh Parlimen di bawah Perkara 10(2).
“Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah lwn Badan Peguam Malaysia dan seorang lagi [2010] 3 CLJ 507 memperakui bahawa hak-hak di bawah Perkara 10 adalah tertakluk kepada sekatan undang-undang.
“Namun, mahkamah juga menegaskan bahawa sebarang sekatan tersebut hendaklah mempunyai asas rasional dan tidak bersifat sewenang-wenangnya, selaras dengan kerangka perlembagaan,” jelasnya.
Tambahnya, dalam kes Pendakwa Raya lwn Azmi Sharom [2015] 6 MLJ 751, Mahkamah Persekutuan mengekalkan kesahihan Akta Hasutan 1948 sebagai undang-undang yang sah di sisi Perlembagaan.
“Walau bagaimanapun, penghakiman tersebut tidak harus ditafsirkan sebagai memberi ruang tanpa had kepada peluasan makna ‘kecenderungan menghasut’, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks fakta kes dan peruntukan statut yang spesifik.
“Pada tahun 2015, Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 berkenaan ‘kecenderungan menghasut’ telah dipinda dengan memotong perkataan ‘terhadap kerajaan’ melalui Akta A1485,” katanya.
Justeru, beliau berharap pihak berkuasa tidak melabel perbincangan dasar kerajaan sebagai ‘provokatif’ kerana istilah tersebut tiada definisi undang-undang yang jelas.
Ujarnya, setiap tindakan penguatkuasaan mestilah berlandaskan lunas undang-undang yang jelas dan tafsiran mahkamah sedia ada bagi menjamin keseimbangan antara ketenteraman awam dan kebebasan bersuara.

