Lukisan Rothko Bernilai RM250 Juta Di Muzium Belanda Rosak Gara-gara Budak Tidak Diawasi

Art
29 Apr 2025 • 6:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Sesetengah karya seni merupakan ‘masterpiece’ dengan harga mencecah jutaan, malah berbilion ringgit.

Walaupun amat bernilai dan akan terdedah dengan pelbagai risiko, karya seni terpilih tetap dipamerkan kepada orang ramai di galeri dan muzium.

Namun akibat sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab, terdapat ‘artwork’ yang dirosakkan sama ada secara sengaja mahupun tidak.

Karya Seni Rothko Dirosakkan Oleh Budak Tanpa Sengaja

Terbaharu, media melaporkan satu karya seni telah dirosakkan secara tidak sengaja oleh seorang kanak-kanak di Muzium Boijmans Van Beuningen, Rotterdam, Belanda.

Insiden yang berlaku pada 25 April lalu terjadi ke atas lukisan abstrak oleh Mark Rothko iaitu ‘Grey, Orange on Maroon, No. 8’ (1960) yang dianggarkan bernilai sehingga €50 juta (RM250 juta).

Masterpiece Rothko itu merupakan antara karya seni yang paling penting dalam simpanan muzium tersebut dan sedang dipamerkan di kemudahan penyimpanan awam Depot Boijmans Van Beuningen.

Difahamkan bangunan utama muzium sedang menjalani pengubahsuaian dan terus mempamerkan koleksinya sementara menunggu kerja-kerja terbabit siap menjelang 2029.

Terdapat Bekas Cakaran Kecil Pada Lukisan, Tiada Gambar Dikongsi Pihak Muzium

Menurut laporan media, kerosakan pada karya seni itu terjadi apabila kanak-kanak terbabit memegangnya ketika tidak diawasi.

“Bekas cakaran kecil dapat dilihat pada lapisan cat yang tidak divarnis di bahagian bawah (karya seni),” kata jurucakap muzium menerusi satu kenyataan.

Pihak muzium bagaimanapun tidak berkongsi imej kerosakan berkenaan serta maklumat tambahan berkaitan penilaian dan anggaran kos pemulihannya.

“Kami kini sedang menyelidik langkah seterusnya bagi pemulihan lukisan itu. Kami jangkakan karya seni itu akan dapat dipamerkan semula pada masa hadapan,” katanya.

Lukisan Tidak Divarnis Moden Berisiko Senang Rosak

Pengurus pemuliharaan di Fine Art Restoration Company, Sophie McAloone, menjelaskan bahawa lukisan tidak divarnis moden seperti karya Rothko di atas ‘mudah terdedah kepada kerosakan’.

“Ini disebabkan oleh kombinasi bahan moden yang kompleks, ketiadaan lapisan salutan tradisional, dan intensiti warna rata yang menyebabkan sekecil-kecil kerosakan dapat dilihat dengan segera,” katanya kepada BBC.

Tambahnya, bekas cakaran pada lapisan atas cat terbabit mempunyai impak besar terhadap pengalaman audiens.

Insiden Karya Rothko Beri Impak Pada Pertimbangan Institusi UK Pamerkan Bahan Arkib Pada Orang Awam

Dalam pada itu, insiden sedemikian semestinya menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan karya seni yang dipamerkan kepada orang awam.

Johnny Helm dari servis pemulihan seni Plowden & Smith berkata insiden tersebut memberi impak ke atas institusi di United Kingdom termasuk V&A East dan British Museum yang mempertimbangkan untuk “membuka pameran bahan yang hanya disimpan di arkib” sebelum ini.

Menurutnya, memulihkan karya seni Rothko adalah tugas yang sukar memandangkan “campuran pigmen, resin dan gam yang dilakukan oleh Rothko agak kompleks.”

Malah, Helm berkata lukisan yang tidak divarnis itu bermakna ia terdedah kepada persekitarannya dan menjadi cabaran tambahan kepada pihak penyelenggara.

Hanya 2 Karya Seni Rothko Di Belanda

Sekadar info, Rothko ‘Grey, Orange on Maroon, No. 8’ merupakan satu daripada dua karyanya yang berada di Belanda.

Lukisan itu telah dibeli oleh Muzium Boijmans Van Beuningen pada 1970 iaitu tahun kematian Rothko.

Antara tahun 2019 dan 2020, ia merupakan lukisan utama pada pameran ‘Rothko & Me’ di Stedelijk Museum, ketika mana pengunjung boleh menyertai sesi 10 minit secara bersemuka, berseorangan dan tanpa peranti dengan lukisan tersebut dalam sebuah bilik.

Rothko Tokoh Seni Dalam Gerakan Abstrak Ekspresionisme

Merupakan seorang pelukis penting di Amerika Syarikat dalam gerakan abstrak ekspresionisme, Rothko yang dilahirkan di Rusia pada 1903 telah berpindah ke AS sejak kecil.

Karya oleh tokoh seni ini kelihatan mudah dihasilkan, tetapi ia dikatakan mampu menimbulkan tindak balas emosi yang kuat di sebalik lukisannya yang petak, berwarna-warni dan bersaiz besar.

Lukisan Rothko sering kali dikaitkan dengan tema tragedi, kehilangan dan keadaan manusia.

Sebelum ini, satu karya Rothko bertajuk ‘Untitled (Yellow and Blue)’ (c. 1954) pernah dimiliki oleh pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low sebelum dicagar dan akhirnya menjadi milik seorang jutawan Azerbaijan-Rusia, Farhad Akhmedow.