Tular di Instagram, seorang wanita mengesyaki bayinya berusia setahun didear oleh pengasuh, berdasarkan penemuan banyak kesan lebam di bahagian belakang badan.
Faradelyn Aris berkata, selama ini dia hanya melihat kejadian seumpama itu berlaku pada kanak-kanak lain dan tidak menyangka anaknya turut menjadi mangsa kepada pengasuh yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Faradelyn, dia dan suaminya menyedari kesan lebam berkenaan di badan mangsa pada Selasa, 5 Disember lalu, ketika sedang menukar lampin pakai buang.
“Dapat detect masa nak tukar pampers. Suami terus panggil tengok badan anak. Betapa terkejut dan luluhnya hati bila tengok badan anak lebam-lebam teruk macam tu.
“Saya beritahu awal-awal ye. Sebelum ini memang dah banyak kali anak ada kesan lebam-lebam tetapi tak ketara sangat. Bila ditanya, pengasuh beri jawapan anak asuhan lain yang buat.
“Tapi kali ini saya tak dapat nak bersangka baik lagi sebab semakin lama semakin kerap kesan lebam teruk di badan anak,” katanya yang turut memaklumkan mangsa sudah tiga bulan dijaga oleh pengasuh terbabit.
Ibu bapa mangsa buat laporan polis
Susulan kejadian itu, pasangan berkenaan telah tampil membuat laporan. Bertindak di atas laporan tersebut, polis telah membuka kertas siasatan.
Sementara itu, mangsa telah dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan bagi mengesan jika terdapat kesan kecederaan dalaman.
“Anak dah warded sebab nak ambil darah, x-ray sebab takut ada patah ke, darah beku ke. Pakar forensk pun dah ambil gambar, ukur semua lebam-lebam baru dan lama.
“Memang nampak tu kesan cengkaman atau cubitan dan boleh mengakibatkan tulang rusuk anak saya patah. Saya berharap pengasuh itu dikenakan tindakan,” katanya.
Pengasuh berang, ugut buang barang
Malangnya, tindakan ibu mangsa membuatkan pengasuh terbabit berang dan mengamuk serta mengugut mahu membuang segala barang milik mangsa.
Bagaimanapun, Faradelyn enggan mengendahkan ugutan pengasuh itu dan nekad mengutamakan keselamatan anaknya daripada menjadi mangsa penderaan pengasuh yang tidak bertanggungjawab.
“Pengasuh ini area Sikamat, dah berusia dan dia menjaga anak-anak asuhan dengan anak perempuan dia. Lebih 10 orang ye dia jaga.
“Saya bukan nak menutup periuk nasi orang, Saya tak nak anak-anak orang lain juga kena seperti mana yang anak saya kena,” ujarnya.
Sumber: Instagram Faradelyn Aris
The post ‘Luluh hati aku tengok badan anak banyak kesan lebam’ – Ibu syak bayinya didera pengasuh, tampil buat laporan polis appeared first on The Reporter.




