
GEORGE TOWN: Polis menahan enam lelaki kerana dipercayai berlumba haram menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi ‘panas’ aktiviti itu di negeri ini, awal pagi semalam.
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan operasi bermula pada 1 pagi hingga 6 pagi dan kesemua penunggang motosikal itu berusia awal 20-an.
“Empat daripada mereka ditahan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sama Gagah, Permatang Pauh manakala dua lagi di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu (Seagate), Bayan Lepas,“ menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan kumpulan motosikal itu dilihat menunggang dengan melakukan aksi bersaing sesama sendiri selain meniarap di atas motosikal ala 'superman' dan secara zig-zag yang bukan sahaja membahayakan kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.
Mereka sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Bernama
