
IPOH: Lumut Port dilihat terus berkembang dengan pertambahan kapal serta peningkatan kargo selain Lumut Maritime Terminal 2 yang sedang dalam pembinaan dan projek Lumut Maritime Industrial City (LuMic) dijangka mengubah landskap ekonomi Perak pada masa depan.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (gambar) berkata selain pelabuhan, Lumut Port telah berjaya membangunkan Lumut Port Industrial Park (LPIP) yang kini menempatkan pelbagai aktiviti industri seperti minyak dan gas, perkilangan serta sebagai pusat pemunggahan bagi kargo yang mengguna pakai perkhidmatan pelabuhan.
“LPIP turut memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 20,000 tenaga pekerja mahir dan separa mahir yang kebanyakannya merupakan anak jati negeri Perak.
“Semua ini adalah kejayaan yang membanggakan. Sudah tentu, kejayaan ini didorong oleh komitmen yang tinggi serta berterusan oleh kakitangan Lumut Port dengan dipandu oleh pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarahnya.
“Saya berdoa agar Lumut Port terus maju dan kekal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak,“ katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.
Lumut Port ialah satu daripada entiti penting bagi negeri Perak yang juga pintu keluar masuk utama komoditi ke negeri ini, malah sumber mineral yang kebanyakannya dieksport melalui pelabuhan itu menjadi antara punca pendapatan kepada Perak.
Saarani turut berharap kepimpinan Lumut Port yang diterajui Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul akan melipatgandakan usaha bagi memacu syarikat itu sebagai pelabuhan strategik yang penting sekali gus meletakkan Perak sebagai destinasi pelaburan ideal. -Bernama
