LungShield sedia saringan paru-paru 10,000 polis trafik, IHH Healthcare Malaysia bawa model kerjasama awam-swasta ke pentas dunia

LocalHealth & Fitness
22 May 2026 • 4:11 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: LungShield sedia saringan paru-paru 10,000 polis trafik, IHH Healthcare Malaysia bawa model kerjasama awam-swasta ke pentas dunia

PENDEDAHAN berterusan terhadap asap kenderaan, habuk halus dan pencemaran udara bukan lagi isu kecil buat anggota polis trafik yang saban hari bertugas di jalan raya.

Menyedari risiko kesihatan itu, IHH Healthcare Malaysia tampil memperkenalkan program LungShield, sebuah inisiatif saringan paru-paru yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah, usaha berkenaan turut mendapat perhatian pihak antarabangsa apabila dibawa ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 di Geneva, Switzerland baru-baru ini sebagai contoh model kerjasama awam-swasta yang berjaya diterjemahkan kepada tindakan praktikal.

Image from: LungShield sedia saringan paru-paru 10,000 polis trafik, IHH Healthcare Malaysia bawa model kerjasama awam-swasta ke pentas dunia
Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan

Program LungShield yang dilancarkan pada 10 Mei lalu akan memberi manfaat kepada 10,000 pegawai polis trafik di seluruh negara menerusi rangkaian 18 hospital di bawah IHH Healthcare Malaysia termasuk Gleneagles Hospitals, Island Hospital, Pantai Hospitals, Prince Court Medical Centre dan Timberland Medical Centre.

Melalui program itu, anggota polis trafik akan menjalani saringan kesihatan paru-paru secara lebih tersusun termasuk pemeriksaan X-ray dada, imbasan CT dos rendah serta pemeriksaan lanjut dan penilaian pakar sekiranya diperlukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan, LungShield membuktikan kerjasama antara sektor awam dan swasta mampu memberi impak besar apabila digerakkan secara menyeluruh.

Image from: LungShield sedia saringan paru-paru 10,000 polis trafik, IHH Healthcare Malaysia bawa model kerjasama awam-swasta ke pentas dunia

“LungShield menunjukkan bagaimana kerjasama awam-swasta boleh diterjemahkan daripada sekadar konsep kepada pelaksanaan sebenar.

“Apabila kepimpinan nasional disokong kepakaran klinikal dan keupayaan operasi, kita dapat mengenal pasti kumpulan berisiko lebih awal serta membuka laluan rawatan yang lebih jelas,” katanya.

Tambah beliau, dalam isu kesihatan paru-paru, faktor masa dan akses kepada pemeriksaan memainkan peranan sangat penting.

“Jika seseorang pesakit dikenal pasti terlalu lewat, beban klinikal dan ekonomi akan menjadi lebih besar. Sebab itu usaha pengesanan awal sangat penting,” ujarnya.

Image from: LungShield sedia saringan paru-paru 10,000 polis trafik, IHH Healthcare Malaysia bawa model kerjasama awam-swasta ke pentas dunia

Dalam sesi perbincangan sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia itu, antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan negara-negara dunia memperkukuh pelaksanaan dasar kesihatan paru-paru, memperluas akses diagnostik, meningkatkan kesihatan tenaga kerja serta memastikan sistem penjagaan kesihatan lebih mampan untuk jangka panjang.

LungShield turut diketengahkan sebagai contoh pendekatan kesihatan berasaskan pencegahan yang bukan sahaja membantu golongan berisiko tinggi, malah berpotensi mengurangkan beban sistem kesihatan negara pada masa depan.

Dalam perancangan masa hadapan, IHH Healthcare Malaysia akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperluas pelaksanaan program itu selain berkongsi pengalaman dan dapatan program dalam perbincangan lebih meluas mengenai kesihatan paru-paru pekerjaan.

 

 

View Original Article