
SEREMBAN – Kematian bapa kerana kanser darah membuatkan seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pengajian ke menara gading.
Nurul Fatihah Ismail, 18, berkata, tumpuannya ketika ini adalah bagi mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan ibu, Norhapiza Mahat, 51, dan dua adiknya selepas bapanya, Ismail Nayan, 69, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) pada 6 Ogos lalu.
“Sebelum ayah meninggal, dia sempat berpesan agar saya menjaga ibu dan adik-adik. Dia minta jangan tinggalkan mereka,” katanya ketika ditemui semalam.
Norhapiza berkata, anak sulungnya itu kini menjadi harapan keluarga selepas dia tidak mampu bekerja kerana tangan kiri mengalami jangkitan kuman selain tidak mampu mengangkat barang berat.
“Saya hanya mengasuh anak orang sahaja kerana tangan kiri tidak mengizinkan. Saya akan cuba kuat untuk anak-anak. Nurul Fatihah pula sedang mencari kerja untuk membantu keluarga.
“Saya tahu sepatutnya dia fikir tentang pelajaran dan masa depan sendiri, tetapi buat masa ini dia ketepikan dahulu (sambung belajar) kerana mahu utamakan keluarga,” katanya yang pernah menjalani rawatan kanser payudara.
Kata Norhapiza, suaminya tidak mengalami masalah kesihatan serius sehinggalah selepas bersara kira-kira sebulan lalu secara tiba-tiba perutnya membesar, namun tidak mengadu sakit.
“Dia cuma kurang makan. Empat kali kami ulang-alik ke hospital sebelum dia dimasukkan ke wad. Kemudian doktor maklumkan kanser darahnya sudah tahap empat,” katanya.
“Dia sempat berpesan mengenai dokumen dan minta saya jaga anak-anak. Dia juga minta maaf kerana mungkin tidak mahu menyusahkan saya. Kami ingatkan itu cuma cakap-cakap biasa, rupanya pesanan terakhir,” katanya.
Menurutnya, dia kini bergantung kepada pencen suaminya kira-kira RM1,300 sebulan dan pendapatan mengasuh kira-kira RM400, selain sedang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).
“Banyak komitmen yang perlu difikirkan. Kami belum sempat bersedia untuk kehilangan arwah,” katanya. Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan menyalurkannya di akaun Maybank, 1551 3533 1063 atas nama Norhapiza Mahat.
The post Lupakan seketika demi pesanan ayah appeared first on Kosmo Digital.
