Luruan monsun dijangka berlaku sehingga 25 Disember

19 Dec 2022 • 5:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar kenyataan MetMalaysia pada Isnin.

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun dijangka berlaku di rantau negara sehingga 25 Disember 2022.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, ramalan cuaca signifikan itu berpotensi membawa angin kencang, ombak besar dan hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur Semenanjung, timur Sabah serta di perairan Laut China Selatan.

Tambahnya, ramalan tersebut adalah berdasarkan analisis model-model cuaca.

"Justeru, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor berkuatkuasa sehingga 21 Disember 2022.

"Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan sedang berkuatkuasa sehingga 22 Disember 2022," katanya melalui Facebook pada Isnin.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman rasmi MetMalaysia, di semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.