
KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa pengendali platform e-dagang untuk bertindak segera bagi memudahcara pelaksanaan cukai jualan barang bernilai rendah (LVG) oleh penjual tempatan dan asing yang menepati nilai ambang ditetapkan.
Pada masa sama, persatuan itu turut mengingatkan pengendali berkaitan agar tidak melepaskan kos tambahan kepada peniaga tempatan.
Dalam kenyataan hari ini, Presidennya Datuk William Ng berkata adalah menjadi tanggungjawab sosial bagi platform pasaran berkenaan untuk membantu peniaga dan produk tempatan, memandangkan telah menikmati kemudahan pengawalseliaan yang meluas, sokongan promosi dan bantuan kewangan oleh pelbagai agensi kerajaan sejak beberapa tahun.
Malaysia akan mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas LVG import yang dijual secara dalam talian mulai 1 Jan, 2024.
Ng berkata peruncit dan peniaga dalam talian tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah berdepan persaingan tidak adil daripada penjual asing sejak beberapa tahun lamanya.
“Biarpun peruncit tempatan perlu membayar cukai di pelbagai peringkat rantaian bekalan, termasuk apabila membawa masuk komponen atau bahan mentah dan barangan siap ke Malaysia, kita sebaliknya sedang diatasi oleh penjual asing dan penyedia perkhidmatan penghantaran tempatan yang sebahagian besarnya telah mengelak daripada membayar cukai kepada Malaysia,“ katanya.
Selain itu, beliau berkata produk asing yang dihantar secara langsung juga berkemungkinan tidak melalui pemeriksaan kualiti dan keselamatan yang ketat sebagaimana yang perlu dilalui oleh pengeluar tempatan dan pengimport barangan elektrik, bahan makanan dan produk farmaseutikal.
“(Produk asing itu) boleh memberi risiko kebakaran, keselamatan dan kesihatan terhadap pengguna Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau juga menyifatkan cukai LVG berkenaan sebagai berita baik untuk peruncit tempatan dan mengurangkan ketidaksamaan kerana membolehkan penjual tempatan, termasuk PKS untuk bersaing atas dasar perkhidmatan, jarak dan perlindungan lebih baik untuk pengguna tempatan.
“Pendaftaran secara wajib selain cukai 10 peratus ke atas LVG itu akan turut memberi hasil tambahan kepada Malaysia, menyokong ringgit dan mempromosi e-dagang tempatan,” katanya. -Bernama

