1. 'Lelaki dalam klip video seks itu bukan anak saya'
Ayah kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz, tidak percaya anaknya merupakan salah seorang lelaki dalam klip video lucah yang didakwa turut memaparkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Kata Abdul Aziz, beliau sudah pun melihat klip video pengakuan dan video lucah yang meragukan, dan merasakan itu bukan anaknya.
"Katanya, selepas menganalisis video itu, dan membuat penilitian berapa kali berdasarkan postur badannya, gerak dan suaranya, dengan harapan ia palsu.
Abdul Aziz juga mendakwa bahawa anaknya adalah seorang heteroseksual.
2. Lokman dibebas dengan jaminan polis
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang ditahan kerana menghalang tugas polis, bersama seorang lagi lelaki dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kedua-duanya dibebaskan kira-kira jam 7 pagi sebaik siasatan terhadap mereka selesai.
"Lokman Adam sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai dijalankan.
"Seorang lagi lelaki yang ditahan bersamanya semalam juga dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
3. Bukan tulang Acap
Polis mengesahkan serpihan tulang yang ditemui di Gua Kandu Gopeng pada 20 April lalu bukan milik Mohamad Ashraf Hassan, 29, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail, 23 Mac lalu.
Pengesahan itu hasil laporan Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang diterima dari Jabatan Kimia Malaysia yang mendapati serpihan tulang itu tidak sepadan dengan DNA ibu dan abang Mohamad Ashraf.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, melalui bedah siasat dan ujian DNA dijalankan mengesahkan bahawa serpihan tulang ditemui itu bukan milik Mohamad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap.
“DNA tulang ditemui itu tidak sepadan dengan DNA Siti Maznah Khamis iaitu ibu dan juga Mohamad Azlan Hassan iaitu abang kandung Acap, DNA tulang itu juga tidak terdapat di dalam data Jabatan Kimia Malaysia.
“Pemilik sebenar tulang itu tidak dapat dikenal pasti selepas semakan mendapati ia tiada dalam data Jabatan Kimia,” katanya.
4. Wang simpanan RM14,600 dalam Tabung Haji lesap
Wang simpanan di dalam Tabung Haji bernilai lebih RM14,000 yang dikumpul seorang wanita untuk ke tanah suci Makkah, lesap setelah diperdaya sindiket Macau Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pada awalnya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai polis dan mendakwa kenderaan mangsa terlibat dalam kemalangan maut di Seri Kembangan.
Kejadian berkenaan berlaku pada Mac lalu, tetapi wanita malang berkenaan hanya menyedari duit simpanannya hilang selepas membuat semakan penyata pada 3 Jun lalu dan membuat laporan polis semalam.
"Suspek yang menyamar sebagai polis mengarahkan mangsa menukar akaun Tabung Haji di Bank Rakyat dengan mendaftar nombor telefon baharu milik suspek.
Beliau berkata, mangsa terkejut apabila menyedari wang simpanan bernilai RM14, 600 sudah lesap dan hasil semakan terdapat empat transaksi secara online dilakukan ke akaun pihak lain.
5. Anak gajah terperangkap dalam longkang enam jam
Seekor anak gajah liar terperangkap hampir enam jam, selepas terjatuh longkang sedalam hampir satu meter, di Stesen Penyelidikan Getah di Jalan Kota Tinggi-Mersing, awal pagi tadi.
Suasana sayu jelas dirasai apabila melihat ibu gajah yang sebelum itu sedang bergerak bersama anaknya, tidak berganjak dari lokasi terbabit, sebaliknya mengeluarkan bunyi seolah-olah bersedih dengan kejadian yang berlaku.
Kakitangan stesen penyelidikan itu dan penduduk berhampiran turut berkumpul di lokasi menyaksikan kejadian itu, tetapi tidak berani menghampiri untuk membantu.
Suasana sayu melihat keadaan gajah dua beranak itu bertukar ceria apabila ibu gajah berjaya menarik anaknya keluar dari longkang sambil diraikan orang ramai yang bersorak gembira.
Ibu dan anak gajah itu dilihat beredar dari kawasan longkang itu kira-kira jam 10 pagi ke arah kawasan paya dipercayai bagi menyertai kumpulan gajah yang lain.
END

