LZS perkenal kupon fitrah berwarna, lantik 2,642 penolong amil kutip zakat

1 Mar 2023 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 1 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan tiga kupon fitrah berwarna untuk pembayar zakat fitrah mulai tahun ini.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS Datin Norajun Mohd Hashim berkata kupon berwarna hijau untuk nilai RM7, merah (RM14) dan oren (RM21).

“Sebelum ini hanya satu kupon dengan nilai RM7 digunakan dan jika pembayar zakat membayar RM21, amil atau penolong amil fitrah akan mengoyak tiga kupon untuk diserahkan kepada pembayaran zakat.

“Kini mereka akan diberikan kupon mengikut nilai yang dibayar iaitu RM7, RM14 atau RM21,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

image is not available
Lembaga Zakat Selangor memberi taklimat kepada 2,642 penolong amil fitrah seluruh Selangor secara berperingkat mulai 8 hingga 28 Februari 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor

Menurut Norajun LZS juga melantik 2,642 penolong amil di seluruh negeri sepanjang Ramadan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Berliau menambah, kesemua penolong amil yang dilantik telah diberikan khusus berkaitan gerak kerja fitrah dan penggunaan aplikasi mobile.

“Sesi pengukuhan dan latihan ini dijalankan sebanyak 10 siri melibatkan sembilan daerah termasuk dua sesi latihan melibatkan daerah Petaling. Sesi pengukuhan dan latihan ini bermula dari 8 Februari hingga semalam,’’ ujarnya.

Norajun menambah menyarankan orang ramai menunaikan rukun Islam keempat kepada amil lantikan LZS yang boleh dikenal pasti melalui kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan.