M’sia-Brazil Komited Kerjasama, Perkasa Hubungan Asia Tenggara Dan Amerika Latin - PM

25 Oct 2025 • 4:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Brazil komited bekerjasama dalam memperkasa hubungan antara Asia Tenggara serta Amerika Latin sebagai satu ketumbukan perjuangan.

Menegaskan perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diyakini mampu mewujudkan kemakmuran dan kemuliaan insan antara kedua negara.

Menurut beliau, perkara itu dinyatakan pada pertemuan bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio da Silva atau turut dikenali sebagai Lula dan isteri, Rosângela da Silva hari ini. 

“Beliau adalah pemimpin dan tokoh yang kental memperjuangkan nasib dan maruah kaum pekerja, lantang dalam keadilan sosial serta tegas menggugah prinsip kemanusiaan di pentas dunia, termasuk kezaliman di Gaza dan perjuangan melindungi bumi dan khazanahnya daripada kemelut dan bencana iklim,” katanya.

Jelas Anwar, pertemuan hari ini menjadi lebih bermakna apabila kedua negara sepakat mengangkat tingkat kerjasama di pelbagai bidang khususnya perdagangan dan pelaburan.

“Kerjasama turut meliputi sektor tenaga, teknologi makanan, keterjaminan makanan, pendidikan dan budaya, serta teknologi tinggi dan semikonduktor,” katanya.

Anwar memberitahu, Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada Brazil atas dukungan yang diberikan kepada Petronas dan Yinson serta peluang yang dihamparkan bagi memperluas kerjasama dalam teknologi pertanian dan industri makanan. 

“Dalam sidang media bersama, saya turut berkongsi bahawa pemikiran saya turut dipengaruhi seorang tokoh ilmuwan Brazil yakni Dr. Ezraily Vargas yang pernah membimbing saya ketika muda, apatah lagi kini dalam usaha menterjemah serta mengolah dasar penyelidikan negara. 

“Beliau menanam keyakinan bahawa kemajuan sesebuah negara itu mesti berpaksi dan bertunjangkan ilmu, penyelidikan yang rigorous dan inovasi yang menepati semangat zaman (zeitgeist),” katanya.

Beliau menarik perhatian, kunjungan Lula bukan sekadar menepati tuntutan diplomatik dan protokol kenegaraan, tetapi ia berakar pada nilai bersama (shared values).

“Antaranya sudah tentu mencakupi nilai kemanusiaan, keadilan dan harapan untuk dunia yang lebih bermaruah,” katanya.

Lula berada di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi dari 25 hingga 27 Oktober ini dan dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memulakan penggal baharu sebagai Presiden Brazil pada Januari 2023.

Ia juga lawatan pertama seorang Presiden Brazil ke Sidang Kemuncak ASEAN selepas negara itu menjadi rakan dialog sektoral blok berkenaan pada 2022. - Getaran, 25 Oktober 2025