M’sia-Indonesia Sepakat Kukuhkan Kedudukan, Enggan Serahkan Nasib ASEAN Ke Tangan Kuasa Luar

LocalPolitics
29 Jul 2025 • 5:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim dan Prabowo Susianto di Istana Presiden, Jakarta - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Indonesia sepakat mengukuhkan kedudukan kedua negara di rantau ASEAN, melalui muafakat strategik yang teguh, berani dan berwawasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi tersebut seiring dengan suasana dunia yang semakin rencam.

Menurut beliau, pertemuan bersama Presiden Prabowo Susianto sempena lawatan kerja dua ke Jakarta melibatkan perbincangan yang menyentuh banyak isu penting, termasuk  sasaran perdagangan AS$30 bilion antara kedua-dua negara hingga ke soal kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara (IKN).

“Kami turut berbincang mengenai akses lintas sempadan yang lebih lancar di Entikong, serta keperluan dalam memuktamadkan perjanjian persempadanan darat dan maritim yang tertangguh sejak sekian lama,” katanya. 

Anwar berada di Jakarta bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 antara Malaysia dan Indonesia. 

image is not available
Gambar PMO

Perdana Menteri berkata, kesemua isu yang dibincangkan itu diketengahkan bagi mempercepat manfaat kepada rakyat yang hidup di garis sempadan, dan tidak hanya sekadar angka atas kertas. 

“Saya turut tekankan bahawa pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berpaksi pada semangat tulen memperkukuh kesejahteraan rantau. 

“Kita berhasrat untuk menjadi rakan yang jujur dan amanah dalam pembangunan, dari soal tenaga boleh baharu, infrastruktur, perumahan hingga ke soal pendidikan dan teknologi,” katanya. 

Malaysia tegas beliau, bukan sekadar tamu sementara, malah negara ini adalah saudara yang datang bersama cita-cita masa depan. 

“Dalam soal keselamatan, kami bersetuju untuk memperhebar kerjasama melalui kerangka Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

“Saya turut tegaskan bahawa keutamaan Malaysia tetap kekal pada keselamatan strategik Selat Melaka dan Laut China Selatan,” katanya. 

Anwar menarik perhatian, ASEAN  seharusnya tidak boleh alpa dan lalai, apatah lagi menyerahkan nasib rantau ini untuk ditentukan kuasa luar tanpa suara dan pendirian. 

“Kami juga menyentuh keperluan dalam menyatukan suara dalam sejumlah isu global seperti kempen anti-sawit dan pembantaian di Gaza. 

“Dunia mesti menyedari bahawa Malaysia dan Indonesia tidak sesekali gentar menyanggah ketidakadilan kerana kita bukan hanya negaea membangun tetapi negara bangsa yang bermaruah,” tegasnya. - Getaran, 29 Julai 2025