M’sia Komited Perkukuh Kerjasama, Hargai Hubungan Baik Dengan S’pura

LocalPolitics
4 May 2025 • 12:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lawrence Ong melambai kepada penyokong sebaik sahaja keputusan rasmi diperoleh - Gambar AFP

KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Singapura pada masa akan datang, sebagai menghargai hubungan istimewa yang terjalin sekian lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemakmuran dan keselamatan kedua-dua negara saling berkait dan tidak pernah terpisah. 

Menurut beliau, kedua-dua negara bukan sahaja dihubungkan oleh kedudukan geografi, tetapi juga oleh hubungan kekeluargaan dan persaudaraan yang erat serta berpanjangan. 

“Dalam mendepani masa hadapan yang penuh cabaran, Malaysia dan Singapura terus membina amalan kerjasama yang mendalam di pelbagai peringkat – suatu asas yang penting dalam menghadapi perubahan mendalam terhadap tatanan dunia dan perdagangan antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Anwar menyatakan demikian susulan kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum Singapura. 

PAP yang diterajui Perdana Menteri, Lawrence Ong meraih 65.57 peratus undi popular, satu lonjakan besar berbanding 61.24 peratus yang diperoleh pada pilihan raya sebelum ini. 

PAP menguasai 87 daripada 97 kerusi yang dipertandingkan. 

Mengulas kemenangan tersebut, Perdana Menteri berkata, beliau berharap Ong dan barisan kepimpinan yang dilantik semula dapat melaksanakan tugas serta amanah diberikan dengan baik. 

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Lawrence Wong atas kejayaan memimpin PAP meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Singapura.

“Ucapan selamat disertakan buat beliau dan barisan kepimpinan atas pelantikan semula, dengan harapan agar terus diberi kekuatan dan kejayaan dalam menggalas amanah kepimpinan negara bagi penggal yang baharu ini,” katanya. 

Anwar berkata, kedua-dua negara juga berpeluang menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura sebagai contoh cemerlang tentang apa yang mampu dicapai oleh negara jiran melalui kesungguhan dan matlamat bersama.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan PETRONAS-Petros yang menjadi isu hangat mutakhir ini. 

image is not available
Gambar PMO

Katanya, perkara tersebut disuarakan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam. 

“Saya telah berkesempatan bercakap dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg semalam mengenai urusan PETRONAS-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini. 

“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya,” katanya, yang optimis isu terbabit dapat diselesaikan dengan baik. 

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” katanya. - Getaran, 4 Mei 2025