
KUALA LUMPUR - Malaysia ialah negara tunggal yang berani menyuarakan pendirian tegas mengenai Gaza, secara langsung di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau ketika menyuarakan pendirian tersebut turut menggesa penyelesaian menyeluruh dibuat bagi menangani konflik yang sedang berlaku.
Katanya, pendekatan maksimum itu dilaksanakan pada lawatan ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan lalu.
“Isu Gaza memerlukan penyelesaian yang menyeluruh. Apa lagi yang boleh kita katakan? Itu sudah yang maksimum. Negara mana yang berani bercakap terus kepada Trump? Saya berani, kerana saya mewakili Malaysia.
“Presiden Trump melawat beberapa negara, berapa banyak antara mereka yang menyatakan secara bersemuka bahawa penyelesaian menyeluruh diperlukan? Tiada. Kita melakukannya, dan kita lakukan secara terbuka,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Jelas Perdana Menteri, isu berkaitan Gaza diketengahkan secara terbuka sebanyak tiga kali sepanjang sidang kemuncak tersebut.
“Saya turut mengadakan satu perbincangan tertutup bersama Trump di dalam kenderaan presiden AS, The Beast,” katanya.
Beliau memberitahu, gesaan langsung Malaysia bagi penyelesaian yang menyeluruh dan inklusif terhadap konflik Gaza itu mencerminkan tanggungjawab moral dan komitmen negara terhadap keadilan antarabangsa.
“Saya bukan meminta pujian, tetapi untuk dihina atas nama agama itu saya rasa menjijikkan.
“Mereka abaikan fakta dan terus menyerang walaupun Malaysia telah melakukan sedaya upaya,” katanya, merujuk kepada tindakan pembangkang yang sering mempersoalkan usaha kerajaan berkaitan Gaza.
Dalam perkembangan lain Anwar memberitahu, beberapa isu strategik turut dibincangkan bersama Trump dalam pertemuan tertutup itu, termasuk hubungan Malaysia dengan China, jemputan kepada Brazil dan Afrika Selatan untuk Sidang Kemuncak ASEAN, serta hal-hal perdagangan.
Menerusi perkongsian di Facebook pula beliau berkata, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak mengandungi sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat dan Perlembagaan Persekutuan.
Tegasnya, Jabatan Peguam Negara (AGC) sentiasa memainkan peranan penting dalam meneliti setiap perjanjian bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang dan kepentingan negara. - Getaran, 4 November 2025
