
KUALA LUMPUR - Malaysia merekodkan 67,735 kes jenayah dalam talian dari Januari hingga November tahun ini, dengan kerugian kewangan melebihi RM2.7 bilion.
Jurucakap Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berkata, data terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati penipuan telekomunikasi kekal mencatatkan jumlah tertinggi, membabitkan 28,698 kes.
Menurut beliau, penipuan e-dagang berada di kedudukan kedua dengan 14,881 kes dilaporkan.
“Skim pelaburan tidak wujud terus menyumbang kepada kerugian kewangan paling besar, dengan 9,296 kes direkodkan.
“Turut mencatat jumlah ketara ialah tawaran pinjaman tidak wujud (8,029 kes), jenayah e-kewangan (5,853 kes) dan penipuan cinta (978 kes),” katanya.
Jurucakap itu berkata, kerugian akibat pelaburan tidak wujud pula dicatatkan pada RM1.37 bilion, iaitu yang tertinggi dalam semua kategori.
“Ia diikuti jenayah telekomunikasi (RM715.7 juta), jenayah e-kewangan (RM458.1 juta), penipuan e-dagang (RM123.7 juta), pinjaman tidak wujud (RM59.1 juta) dan penipuan cinta (RM43.7 juta),” katanya.
Beliau menarik perhatian, peningkatan mendadak ini menunjukkan trend jenayah siber yang semakin membimbangkan, justeru orang ramai digesa bertindak segera jika mengesyaki diri mereka telah menjadi mangsa.
“Mangsa dinasihatkan segera menghubungi bank untuk menyekat sebarang transaksi mencurigakan.
“Mereka juga digalakkan membuat laporan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian hotline 997, selain membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan serta tindakan susulan dijalankan,” katanya. – Getaran, 8 Disember 2025



