
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Thailand sepakat untuk menyegerakan pelaksanaan beberapa projek utama, termasuk pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang-Sungai Golok dan projek tebatan banjir di Sungai Golok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu dicapai pada pertemuan bersama rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra di Bangkok hari ini.
Menurut beliau, pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang-Sungai Golok mencapai kemajuan penting menerusi perjanjian pembinaan infrastruktur berkenaan sebentar tadi.
“Dalam mesyuarat dua hala bersama delegasi Malaysia dan Thailand, saya zahirkan penghargaan kepada Ing Shinawatra atas komitmen memperkukuh hubungan antara dua negara.
“Saya menghargai kesediaan Kerajaan Thailand untuk meneruskan kemajuan terhadap kesepakatan sedia ada, yang menyentuh usaha memperkasa ekonomi di wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Anwar kini berada di Thailand untuk lawatan rasmi dua hari ke negara tersebut.
Jelas Perdana Menteri, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan mencecah lebih AS$25 bilion (RM110 bilion) pada tahun lalu.
“Insya Allah, pelaksanaan projek-projek strategik ini berpotensi menyumbang kepada lonjakan nilai dagangan dua hala mencecah AS$30 bilion (RM132 bilion) menjelang 2027.
“Kami juga sempat menyentuh isu tarif Amerika Syarikat (AS), dan mengulangi komitmen untuk mendepaninya secara kolektif di peringkat ASEAN menerusi pendekatan rundingan yang adil dan mampan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek jambatan baharu sepanjang 117.3 meter itu dianggarkan bernilai RM40.54 juta dan dibiayai bersama oleh kerajaan kedua negara.
Disasarkan siap pada 2028, projek terbabit jelasnya, menandakan satu lagi langkah penting ke arah memperkukuh pembangunan serantau yang mampan dan pertumbuhan inklusif.
“Ia selari dengan Pengerusian Malaysia dalam ASEAN di bawah tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, yang mencerminkan visi bersama rantau ini ke arah kemajuan kolektif – memastikan pembangunan sampai kepada setiap komuniti dan tiada yang tercicir.
“Kerjasama ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh pembangunan serantau, memperdalam hubungan dua hala, dan memastikan kemakmuran inklusif untuk komuniti sempadan,” katanya.
Beliau menarik perhatian, jambatan bersejarah Rantau Panjang-Su-ngai Kolok yang mula dibina pada 1971 telah lama berfungsi sebagai penghubung utama antara komuniti dan ekonomi Malaysia dan Thailand.

Meneruskan legasi ini katanya, kedua-dua negara kini komited untuk meningkatkan pautan penting ini demi memenuhi keperluan komuniti sempadan dan mempereratkan lagi hubungan dua hala.
“Pada tahun 2012, di bawah Strategi Pembangunan Bersama (JDS) untuk Kawasan Sempadan yang telah dipersetujui oleh Ketua-ketua Negara, Kementerian Kerja Raya (Malaysia) dan Jabatan Lebuhraya di bawah Kementerian Pengangkutan Thailand telah bersetuju untuk memperluas kapasiti jambatan ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Malaysia telah mengetuai proses reka bentuk struktur baharu, yang diinspirasikan oleh motif tradisional “Perahu”, sebagai penghormatan kepada peranan penting Sungai Golok dalam menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dan Su-ngai Kolok di Narathiwat,” katanya.
Nanta memberitahu, infrastruktur yang dipertingkat ini dijangka dapat memperkukuh keterhubungan, perdagangan, serta interaksi antara rakyat, dan menjadi simbol abadi persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Thailand. - Getaran, 17 April 2025



