
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Thailand sepakat memberi penekanan kepada usaha pasukan pemerhati sementara (IOT) yang terus memantau dengan teliti keadaan di sempadan Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua negara juga bersetuju untuk meneliti beberapa ikhtiar lain yang boleh digerakkan ke arah memantapkan operasi pemantauan gencatan senjata.
Menurut beliau, persetujuan tersebut dinyatakan menerusi perbualan telefon bersama pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
“Usai bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja saudara Hun Manet, saya turut bercakap Phumtham Wechayachai bagi membincangkan situasi semasa berkaitan gencatan senjata Kemboja-Thailand.
“Kedua-dua kami menyentuh mengenai mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Thailand-Kemboja yang akan bersidang pada bulan hadapan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu, Anwar mengadakan perbincangan bersama Hun Manet berhubung perkembangan terkini melibatkan gencatan senjata di antara Kemboja dan Thailand.
“Kami turut menyentuh perihal IOT yang telah menjalankan pemantauan rapi di kawasan sempadan kedua-dua negara tetangga.
“Kami juga berbincang lanjut mengenai langkah lain yang boleh dilakukan untuk memperkemas keberkesanan operasi pemantauan oleh IOT,” katanya.
Selasa lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Mohd Nizam Jaffar dipetik sebagai berkata, IOT yang diketuai Malaysia memainkan peranan penting dalam menjalankan siasatan terhadap ketelusan gencatan senjata di sempadan Thailand dan Kemboja.
Katanya, pasukan itu akan memaklumkan hasil siasatan kepada kedua-dua negara terlibat. - Getaran, 19 Ogos 2025

