M40 dijangka paling terjejas akibat subsidi bersasar, B40 lebih terlindung hasil bantuan kerajaan - Kenanga Research
herman
05/04/2024 - 12:39
KUALA LUMPUR 5 April - Kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dijangka mengalami tekanan kewangan paling ketara daripada pelaksanaan subsidi bersasar berbanding kumpulan berpendapatan rendah yang lebih terlindung kerana menerima pelbagai bantuan oleh kerajaan.
Kenanga Research berkata, kesan paling jelas ialah sebahagian daripada kumpulan berpendapatan sederhana dijangkakan tidak lagi menikmati subsidi bahan api apabila program kerajaan itu dilaksanakan kelak.
Menurut firma penyelidikan itu, kesan subsidi bersasar kepada mereka yang berpendapatan tinggi pula dilihat minimum.
"Ironinya, kumpulan berpendapatan rendah mungkin mendapati diri mereka agak terlindung daripada tekanan ekonomi (akibat program subsidi bersasar).
"Ini susulan pemberian wang tunai yang berterusan oleh kerajaan di samping penerusan subsidi terutama subsidi bahan api," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Walaupun kenaikan bahan api belum berlaku namun Kenanga Research percaya perbelanjaan pengguna akan berterusan berhati-hati sepanjang tahun 2024, malah mungkin berlanjutan ke bulan-bulan awal 2025.
Katanya, ini berikutan peningkatan kos sara hidup akibat inflasi bersama-sama dengan kenaikan tarif air dan elektrik di samping kenaikan cukai perkhidmatan 8% yang kini merangkumi rangkaian perkhidmatan yang lebih luas.
"Perubahan (SST) ini berkemungkinan akan meningkatkan kos pembuatan untuk perniagaan, yang berpotensi membawa kepada penilaian semula harga produk merentas pelbagai industri.
"Kami percaya tamparan terbesar masih belum datang, iaitu rasionalisasi subsidi bahan api," jelasnya.
Pada satu sudut yang positif, harga beberapa komoditi makanan seperti gandum adalah lebih rendah dan ini akan mengurangkan tekanan margin ke atas pengeluar barangan pengguna.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pengeluar barangan keperluan seperti makanan terus mencatatkan pendapatan yang berdaya tahan berbanding bukan barangan keperluan.
Katanya, ini memandangkan pengguna mengutamakan perbelanjaan untuk barangan keperluan terutamanya makanan berbanding pakaian, peralatan, perabot dan barangan seumpanya.
"Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah F&N untuk pemulihan permintaan yang teguh dalam produk minuman selepas wabak, jualan eksport yang kukuh daripada harga yang kompetitif, permintaan yang stabil untuk barangan makanan penting dan prospek yang lebih baik dalam pasaran Thailand, didorong peningkatan pelancong," katanya.
Turut jadi pilihan ialah MRDIY antaranya untuk kedudukannya yang dominan dalam pasaran sekali gus membolehkan kuasa tawar-menawar dengan pembekal berdasarkan jumlah kedai dimiliki.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'Neutral' untuk sektor barangan pengguna.- DagangNews.com



