'Dua anak Mek meninggal kemalangan'

13 Jul 2019 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GUA MUSANG - 'Sudah empat orang anak Mek meninggal dunia, dua daripadanya berpunca dari kemalangan," luah ibu kepada mangsa kemalangan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis, semalam.

Menurut Zainab Arifin, 75, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, kali terakhir dia bertemu anaknya, Muhamad Saiful Ab Rahman, 36, adalah pada Jumaat minggu lalu.

Katanya, ketika itu tiada sebarang perubahan dan arwah hanya datang membasuh lori muatan roti majikannya.

"Sudah lebih lima tahun dia bekerja memandu lori muatan roti. Memang Mek terkejut bila dapat tahu arwah kemalangan. Tetapi, sebagai manusia, Mek reda dan Mek sempat mengajarnya mengucap di hospital.

"Mek dah tiada empat anak. Seorang meninggal dunia ketika kecil, seorang lagi sesak nafas dan dua kemalangan. Kini hanya tinggal sembilan anak Mek daripada 13 orang," katanya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Nor Azliana Azhar, 28, meminta orang ramai supaya memadam perkongsian video suaminya ketika kemalangan.

image is not available
Keadaan motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki mangsa.

"Saya dapat tahu orang ramai berkongsi video berkenaan, tapi saya tidak lihat dan tidak sanggup lihat. Arwah sudah tiada, padamlah video itu.

"Semasa kejadian, saya berada di rumah ibu bapa saya di Taman Agropolitan Rantau Manis. Mungkin arwah mahu ke sana tetapi dia tidak memberitahu saya.

"Saya janji dengannya mahu pulang ke rumah di Paloh 2, hari ini (Sabtu). Saya reda dengan ketentuan ini cuma buntu memikirkan nasib tiga anak yang masih kecil," katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RPT Kesedar Paloh 2, pada jam 12 tengah hari.

Hasil perkahwinan 11 tahun, arwah mempunyai tiga anak, Nur Damia Maisarah, 11, Mohd Danny Irfan, 7 dan Nur Daliya Raisyha, 2 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu mengakibatkan kecederaan parah kepada mangsa.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15, telah bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

"Mangsa terlanggar cermin sisi sebelah kanan lori dan akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak dan tangan kanannya putus manakal pahanya cedera teruk.

"Mangsa pada mulanya dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) namun keadaannya agak kritikal dan terus dikejarkan ke HKK.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi tadi. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.