KUCHING - Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah satu waad atau ikatan nasional yang harus dihormati dan dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, MA63 merupakan satu ikatan janji yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Malaysia terdahulu.
"Kita sudah berjanji. Bapak-bapak (pemimpin) kita dahulu telah memutuskan untuk memperkuat ikatan (Malaysia) ini. Sebab itu kita harus ambil serius dalam meneliti, menelaah semua keputusan-keputusan yang telah kita buat dulu.
"… dan saya perlu menyatakan bahawa isu ini (MA63) tidak mungkin selesai selagi sebahagian daripada rakan-rakan kita di Semenanjung yang berpendapat bahawa MA63 itu hanya urusan Sabah dan Sarawak,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam Rabu.
Tetamu kehormat pada sambutan itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengenai MA63, Anwar berkata, sebanyak sembilan isu berkaitan perjanjian itu telah diselesaikan di bawah Kerajaan Madani.
Beliau berkata, antara perkara yang telah diselesaikan ialah keputusan untuk mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Sarawak sebagai jabatan teknikal selain meletakkan wakil tetap kedua-dua negeri itu di dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani juga berjaya menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah serta penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak.
"Untuk menyelesaikan perkara ini perlu ada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Sekiranya Sarawak makmur, maka ia juga akan memakmurkan Malaysia.
"Jadi apabila Pelabuhan Bintulu milik Sarawak, ia juga satu pelabuhan penting buat Malaysia, saya melihat dari segi itu, ini waad Malaysia. Ini merupakan kepentingan dan kekayaan bersama," kata beliau. - Bernama





