Maahad Tahfiz Al-Mizan perluas kemudahan, tampung pertambahan pelajar SPM

29 Jun 2026 • 1:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maahad Tahfiz Al-Mizan perluas kemudahan, tampung pertambahan pelajar SPM
Pelajar Maahad Tahfiz Al-Mizan yang berjaya meraih keputusan cemerlang. Foto Maahad Tahfiz Al-Mizan

TANGKAK – Pertambahan bilangan pelajar yang mengikuti program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maahad Tahfiz Al-Mizan di sini mendorong institusi itu merancang penambahan kemudahan pembelajaran bagi memastikan proses pendidikan dapat diteruskan dalam suasana lebih kondusif.

Penyelaras SPM Maahad Tahfiz Al-Mizan, Nor Jannah Omar berkata, jumlah pelajar daripada 15 kepada 30 satu sesi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan ruang pembelajaran dan kemudahan sedia ada semakin terhad.

Katanya, sehubungan itu pihak maahad merancang penambahan blok kelas baharu, menaik taraf kemudahan pembelajaran termasuk pemasangan pendingin hawa, pendawaian elektrik serta penyediaan kelengkapan pengajaran yang lebih moden.

“Selain itu, kami juga memerlukan tambahan van bagi memudahkan urusan pengangkutan pelajar serta kerja-kerja baik pulih dapur untuk keselesaan warga maahad.

“Usaha menaik taraf kemudahan ini penting bagi memastikan pertambahan bilangan pelajar dapat ditampung dengan lebih baik di samping mengekalkan kualiti pembelajaran yang ditawarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Jannah memberitahu, kelas akademik SPM yang diperkenalkan sejak tahun 2019 diwujudkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar tahfiz melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa mengetepikan penguasaan hafazan al-Quran.

Menurutnya, program itu berjaya melahirkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM termasuk 8A, 6A dan 5A.

“Malah, ramai graduan kami berjaya menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi seperti Universiti Islam Selangor, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi MARA serta beberapa institusi lain.

“Ini membuktikan pelajar tahfiz juga mampu bersaing dalam bidang akademik dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, antara keistimewaan program itu ialah tenaga pengajar terdiri daripada guru berpengalaman termasuk guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan guru penanda kertas SPM sebenar bagi memastikan pembelajaran selari dengan silibus arus perdana.

Tambah beliau, Maahad Tahfiz Al-Mizan turut menyertai Program Intervensi Tahfiz di bawah pemantauan KPM selain menyediakan kelas al-Quran bagi memastikan hafazan pelajar terus dipelihara sepanjang mengikuti pengajian akademik.

“Pelajar juga boleh mengikuti program Sijil Perakuan Hafazan Bertahap di bawah Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian hafazan mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyokong usaha pembangunan kemudahan pendidikan Maahad Tahfiz Al-Mizan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 551043559469 atas nama Maahad Tahfiz Al-Mizan atau hubungi Nor Jannah di talian 016-334 9884.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved