Maahad Tahfiz Darul Hikmah lahirkan generasi al-Quran berilmu

5 Mar 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Beberapa bangunan baharu sedang didirikan di Maahad Tahfiz Darul Hikmah di Kampung Luar, Siong, Baling.
image is not available
Gambaran ilustrasi kompleks baharu Maahad Tahfiz Darul Hikmah di Kampung Luar, Siong, Baling.

BALING – Sebuah kompleks baharu Maahad Tahfiz Darul Hikmah di Kampung Luar, Siong di sini akan dibina bagi memperkukuh pendidikan tahfiz demi melahirkan generasi al-Quran yang bukan sahaja fokus kepada hafazan, malah memahami dan menghayati isi kandungan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

Mudirnya, Abdullah Al-Hakim Zainon berkata pembinaan tersebut merupakan usaha strategik bagi membentuk pelajar yang berilmu, beradab, berakhlak serta bertakwa kepada ALLAH.

Menurut beliau, kompleks tersebut dirancang sebagai pusat tarbiah yang menyeluruh bagi menyediakan persekitaran pendidikan yang kondusif dan selesa supaya pelajar dapat memberi tumpuan penuh kepada hafazan, kefahaman serta penghayatan al-Quran.

“Selain itu, ia bertujuan menampung pertambahan pelajar serta memperkukuh sistem pendidikan tahfiz yang lebih berkualiti.

“Di sini akan menjadi tempat untuk mencungkil dan menggilap bakat pelajar agar dimanfaatkan secara positif di samping memupuk semangat persaingan sihat dalam menguasai al-Quran,” katanya.

**media[3453648]**

Mengulas perkembangan pembinaan kompleks tersebut, Abdullah memberitahu fasa pertama projek berkenaan telah berjaya disiapkan sepenuhnya termasuk kerja meratakan tanah serta penyediaan infrastruktur asas.

Ujarnya, fasa kedua pula akan memberi fokus kepada pembinaan kemudahan utama pelajar termasuk sebuah surau dua tingkat yang mampu menempatkan sehingga 200 jemaah.

“Di tingkat bawah akan dijadikan surau utama yang berfungsi sebagai kelas halaqah al-Quran manakala tingkat atas menempatkan dewan kuliah bagi pembelajaran subjek selain al-Quran.

“Anggaran dana bagi fasa kedua adalah sebanyak RM1 juta yang merangkumi pembinaan surau dan kantin, kerja struktur, kemasan bangunan, pendawaian elektrik, pencahayaan serta kemudahan keselamatan dan kebajikan,” katanya.

Menurut beliau, fasa ketiga yang merupakan fasa terakhir akan melengkapkan keseluruhan infrastruktur pendidikan di kompleks berkenaan termasuk kemudahan sokongan tambahan.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pembangunan Kompleks Maahad Tahfiz Darul Hikmah boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam 12298010010895.

 

 

View Original Article