
Kota Kinabalu: Penyalahgunaan alkohol dan ketidakstabilan kewangan dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan muda di Sabah.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, kedua-dua faktor ini bukan sahaja memberi tekanan kepada institusi rumah tangga, malah mampu mencetuskan konflik yang berakhir dengan perceraian, termasuk dalam kalangan pasangan bukan Islam.
Menurutnya, hasil bacaannya di laman sesawang terdapat 17 punca perceraian bagi pasangan suami isteri.
“Dalam 17 punca utama perceraian ialah penyalahgunaan bahan seperti alkohol atau dadah merupakan antara penyumbang besar kegagalan rumahtangga.
“Ini kerana ia boleh membawa kepada ketagihan, perubahan personaliti, kehilangan pekerjaan, masalah kewangan dan juga keganasan rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Seminar Kesejahteraan Belia Mental, Fizikal dan Rohani serta Kursus Perdana Pra-Perkahwinan Islam di Wisma Muis, pada Selasa.
Seminar berkenaan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Islam Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Jumain mendedahkan perkara itu berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes perceraian dalam kalangan pasangan muda yang berpunca daripada tabiat mabuk, terutama semasa musim perayaan.
“Kami banyak juga berpengalaman menangani isu perceraian muda-mudi yang berpunca daripada mabuk.
“Tidak pulang ke rumah berhari-hari, bila dicari, rupanya di rumah jiran, dan ini berlaku terutama ketika sambutan perayaan besar-besaran,” katanya merujuk kepada pasangan bukan Islam.
Tambah beliau lagi, masalah kewangan turut menjadi faktor perceraian yang paling menonjol di negeri ini, membabitkan pasangan sama ada Islam atau bukan Islam.
“Masalah kewangan yang tidak stabil dan akhirnya semakin membesar juga antara punca perceraian yang paling ketara.
“Ditambah pula dengan kurangnya pengetahuan, persediaan dan tiada kesefahaman antara pasangan, semua ini berpunca daripada tekanan kewangan yang tidak ditangani dengan baik,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat pasangan yang bercerai di Mahkamah Anak Negeri (MAN) sebelum perkahwinan mencecah usia setahun.
“Mereka ini masih muda, sekitar usia 25 hingga 40 tahun. Malah ada yang baru enam bulan berkahwin, dan apabila timbul masalah, terus bercerai di MAN,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan muda agar mempersiapkan diri dengan ilmu rumah tangga sebelum berkahwin, termasuk menghadiri kursus pra-perkahwinan.
“Kalaupun kewangan tidak kukuh, tapi dia berusaha untuk cukupkan dirinya, selain rajin, tidak malas dan sebagainya,” katanya.


