
KUALA LUMPUR – Pemergian Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam insiden letupan semasa latihan membaling bom di Kem Hobart, Gurun, Kedah terus mengundang rasa pilu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menerusi satu perkongsian di Threads oleh pengguna @rahayu_mohamed, beliau memaklumkan Allahyarhamah merupakan rakan satu batch pengambilan dengan anak daranya yang baru menamatkan latihan pada Januari lalu.
Perkongsian Menyentuh Hati
Menurut perkongsian tersebut, berita pemergian anggota tentera wanita itu amat memberi kesan kepadanya kerana mengenali latar belakang kumpulan pengambilan berkenaan.
“Arwah tentera perempuan tuh satu batch intake dengan anak dara saya. Sedihnya saya macam anak sendiri. Orang Kluang pula, sama negeri kami,” tulisnya.
Beliau turut mengajak warga Threads mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan dikurniakan syurga.
Malah, beliau memaklumkan kumpulan pengambilan tersebut baru sahaja menamatkan latihan pada Januari lalu dan masih baharu dalam perkhidmatan tentera.
Ruangan Komen Dipenuhi Ucapan Takziah
Perkongsian itu turut mendapat perhatian ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa serta anggota tentera lain yang sedang menjalani latihan.
Seorang pengguna Threads berkongsi bahawa anak menantunya juga baru selesai menjalani latihan yang sama di kem berkenaan beberapa minggu lalu.
“Alhamdulillah dia balik dengan selamat ke pangkuan isterinya. Dengar kes ini, rasa sayu kerana memahami situasi keluarga arwah. Salam takziah,” tulis pengguna tersebut.
Seorang lagi pengguna memaklumkan adiknya yang juga anggota tentera pernah menjalani latihan membaling bom dan berharap semua anggota yang sedang berlatih sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.
Rata-rata netizen turut mengucapkan takziah serta menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarhamah dan mangsa yang terlibat.
Dua Anggota Tentera Terkorban Dalam Latihan
Terdahulu, dua anggota Tentera Darat Malaysia dilaporkan terkorban selepas berlaku letupan ketika latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah pada Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Prebet Siti Khadijah Sungip dan Koperal Norazmi Abu Bakar. Kedua-duanya dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Pihak Tentera Darat Malaysia memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Suka membaca TMU? Bantu kami terus menghasilkan berita dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post ‘Macam Anak Sendiri’ – Perkongsian Mengenai Allahyarhamah Pbt Siti Khadijah Undang Sebak Warga Maya appeared first on The Malaysian Update.






