
Berat betul dugaan peniaga bazar ramadan kali ini
Macam Medan Perang, Peniaga Sibu Sedih Makanan Dan Kanopi Hancur ‘Diterbang’ Ribut. Ribut petir yang menggerunkan telah membadai bandar Sibu kira-kira 6 petang semalam meyebabkan kerugian besar buat peniaga bazar ramadan di bandar tersebut.
Pokok tumbang, bumbung berterbangan dan tersangkut pada talian elektrik serta jarak penglihatan rendah menyebabkan penduduk Sibu mengalami trauma kerana tidak pernah melihat kejadian sedemikian sebelum ini.

Menurut rakaman video tular di platform media sosial, suasana kelam kabut dengan jeritan peniaga dan pelanggan yang dilihat berpaut pada tiang khemah bagi menghalang angin daripada menerbangkan khemah selain petir sambar menyambar.
Habis rosak barang niaga
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting Ing Horh dalam catatan di laman Facebook berkata Jalan Merdeka Barat kelihatan seperti medan perang dengan kejadian pokok tumbang.

“Ia adalah hari yang luar biasa, jarang melihat keadaan ribut menggerunkan berlaku selama 45 minit. Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” menurut catatan beliau.
Semoga peniaga bazar ramadan Sibu tabah dengan dugaan ini!
Dalam video lain yang turut tular, satu unit rumah flat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berlaku kerosakan teruk selepas tembok roboh.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kejadian ribut itu dan memaklumkan enam flat kediaman anggota polis dan keluarga mereka mengalami kerosakan akibat angin kencang.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

