Macam Resort, Penjara Bastoy Ini Ada Pelbagai Kemewahan, Banduan Ibarat VIP Siap Pegang Kunci Bilik Sendiri

25 Aug 2022 • 12:41 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ibarat Resort, Penjara Bastoy Ini Ada Pelbagai Kemewahan, Banduan Ibarat VIP Siap Pegang Kunci Bilik Sendiri

Seperti yang kita tahu, penjara merupakan tempat di mana mereka yang melakukan jenayah ditempatkan sebaik sahaja pihak mahkamah menjatuhkan hukuman. Berdasarkan pengetahuan umum, penjara mungkin adalah tempat yang paling kita tidak mahu kunjungi atas beberapa sebab. Salah satunya, kemudahan yang ditawarkan penjara adalah terhad, tidak seperti yang dinikmati oleh kita semua yang menjalani kehidupan bebas.

Namun, percaya atau tidak, Penjara Bastoy di Norway yang menempatkan banduan dari pelbagai latar belakang jenayah ekstrem seperti pembunuhan, rogol, dadah dan sebagainya ini menawarkan kemudahan yang tidak dapat dibayangkan dan ada kalanya melebihi apa yang kita nikmati sebagai manusia bebas.

Ditubuhkan pada tahun 1982 di atas sebuah pulau, banduan-banduan yang ditempatkan disini juga layaknya seperti sedang berada di pusat peranginan apabila disajikan dengan permandangan lautan biru terbentang luas sambil dikelilingi tumbuhan menghijau dengan deretan pokok pain serta landskap batuan semula jadi yang indah.

Selain itu, kompleks-kompleks penjara juga dibina dengan rekaan rumah agam yang mewah yang digelar sebagai ‘The Big House’. Manakala di bahagian dalamnya pula, ruangnya seperti sebuah kolej universiti dimana tahanan bebas untuk keluar masuk sesuka hati. Setiap tahanan juga memegang sendiri kunci kepada bilik masing-masing

Tak ubah seperti sebuah resort, banduan-banduan ini boleh menikmati ‘kebebasan dipenjara’ dan langsung tidak perlu memikirkan dunia luar apabila pelbagai kemudahan turut disediakan. Contohnya, mereka dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing, berjemur di tepi pantai, sauna, bermain gitar dan kemudahan sukan seperti tennis turut tersedia untuk digunakan.

Selain itu, dari segi makanan pula mereka dihidangkan dengan makanan yang sedap dan mewah seperti bebola ikan dan sos putih bersama udang serta ayam dan juga salmon, atau mereka boleh membeli sendiri bahan mentah untuk dimasak di penempatan masing-masing. Setiap hari, mereka boleh menonton televisyen yang disediakan selain boleh menggayakan apa sahaja jenis pakaian yang dimahukan seperti seluar jeans dan sebagainya.

Mereka yang ditempatkan disini bagaimanapun akan diberikan tugas-tugas khas bagi memastikan Penjara Bastoy dapat beroperasi dengan baik. Antara tugas-tugas yang perlu dilaksanakan adalah seperti membersihkan taman, berkebun atau membelah kayu api. Mereka bebas untuk melakukan kegiatan harian dengan pengawasan minima daripada pengawal.

Malah, mereka juga dibayar untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut, iaitu kira-kira RM 40 sehari. Wang-wang berkenaan boleh dibelanjakan di kedai-kedai yang disediakan di dalam kompleks penjara atau disimpan untuk digunakan apabila bebas kelak.

Walau bagaimanapun, kewujudan Penjara Bastoy ini menimbulkan perdebatan kerana orang awam tertanya-tanya, sekiranya banduan dihantar ke penjara untuk dihukum, maka apa perlunya kemudahan seperti ini disediakan?

Namun, sekiranya tujuan banduan dihantar ke penjara untuk dipulihkan diambil kira, Penjara Bastoy benar-benar berjaya merubah tahanan-tahanan yang ditahan disitu.

“Kami menyediakan penjara seperti pusat peranginan mewah, jadi apa masalahnya? Kita perlu mengurangkan risiko jenayah yang berulang, jika tidak apa motif hukuman dilaksanakan?” kata Gabenor Penjara dan Bekas Menteri dan Ahli Psikologi, Arne Kvernvik, lapor CNN.

Menurut laporan dari beberapa negara Nordik pada tahun 2010, sekurang-kurangnya 20% banduan yang keluar dari penjara Norway melakukan kesalahan atau jenayah yang sama selepas mereka dibebaskan. Manakala di Bastoy, angka tersebut mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu lebih kurang 16%.

Menurut Arne lagi, Penjara Bastoy dibina bukan tujuan untuk menghukum atau membalas dendam. Satu-satunya hukuman yang perlu banduan jalani disini adalah kebebasan untuk menjadi mana-mana komuniti ditarik sementara.

Begitupun, disini mereka diberi peluang untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang biasa komuniti bebas lakukan. Dengan persekitaran ini, pihak penjara berharap banduan-banduan tersebut dapat bermuhasabah dan mengubah kembali diri mereka menjadi individu yang lebih baik.

Sumber: CNN