
KUANTAN: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian hampir RM80,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa lepas (20 Jun).
Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 73 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek yang kononnya mahu menyiasat transaksi kad kreadit mangsa yang dikatakan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di luar negara.
“Kononnya bagi tujuan itu, mangsa perlu berkongsi maklumat perbankan miliknya dan mengaktifkan transaksi perbankan dalam talian. Bimbang dikenakan tindakan menyebabkan mangsa menuruti arahan suspek,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Yahaya berkata mangsa menyedari ditipu selepas menerima beberapa notifikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) berkaitan transaksi pemindahan wang secara dalam talian yang keseluruhannya berjumlah RM79,992, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.
Yahaya mengingatkan orang ramai untuk membuat semakan segera dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan telefon meragukan supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Mereka juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang.-Bernama

