Macbook Pro dengan SoC Apple M2 Max akan dilancarkan 18 Januari 2023?

Digital
17 Jan 2023 • 10:55 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Beberapa outlet media terkenal berkongsikan maklumat yang Apple akan melancarkan sesuatu dalam masa 24 jam daripada tarikh artikel ini ditulis.

Agak pelik apabila Apple lancarkan produk seawal Januari kerana sejak sekurang-kurangnya tahun 2020, tiada sebarang pelancaran perkakasan baharu dilakukan dalam bulan tersebut.

Tapi menurut info yang dikongsikan, kita mungkin melihat dua varian cip Apple M2 iaitu M2 Pro dan M2 Max diumumkan bersama-sama MacBook yang akan mendukungnya.

Untuk makluman anda, cip M1 Pro dan M1 Max telah diumumkan Apple dalam bulan Oktober 2021 lalu dan sekiranya kitaran setahun digunakan sebagai senggatan pelancaran, sepatutnya Oktober 2022 varian M2 dilancarkan. Berkemungkinan besar mereka terlepas tetingkap pelancaran itu bagi mengoptimumkan lagi cip tersebut dan Januari 2023 adalah masa yang dirasakan sesuai untuk dilancarkan.

Spekulasi yang kuat bertiup adalah tentang kemas kini MacBook Pro 14 dan MacBook Pro 16. Ia diperkuat dengan penemuan beberapa entri terbaharu produk yang tidak diketahui modelnya yang menjalankan Apple M2 Max dalam bulan November 2022 lalu.