Macklemore sumbang RM4.2 juta bantu rakyat Palestin

WorldEntertainment
17 Sep 2026 • 3:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Macklemore sumbang RM4.2 juta bantu rakyat Palestin

TERUS bersolidariti, penyanyi rap antarabangsa, Macklemore menyumbangkan keseluruhan pendapatan bersih sebanyak sekitar RM4.2 juta hasil penglibatannya dalam siri jelajah Loop Tour bersama Ed Sheeran kepada enam organisasi membantu rakyat Palestin.

Ujar Macklemore atau nama sebenarnya Ben Haggerty, 43, keputusan itu dibuat bagi mengembalikan perhatian dunia kepada nasib rakyat Palestin, susulan kontroversi selepas dirinya disingkirkan daripada jelajah berkenaan.

“Saya mahu mengembalikan tumpuan kepada perkara utama, iaitu rakyat Palestin masih terbunuh, hidup di bawah pendudukan tentera dan terus berjuang demi kebebasan mereka.

“Saya akan menyumbangkan keseluruhan AS$1 juta daripada pendapatan bersih saya menerusi Loop Tour Ed Sheeran kepada enam organisasi terbabit, semuanya bekerja secara langsung membantu rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyataan dalam Instagram.

Enam organisasi menerima sumbangan tersebut ialah Palestine Children’s Relief Fund (PCRF), HEAL Palestine, Gaza Soup Kitchen, Medical Aid for Palestinians, UNRWA USA National Committee dan Anera.

Sumbangan itu diumumkan beberapa hari selepas Macklemore digugurkan sebagai artis pembuka tirai bagi baki siri jelajah Loop Tour di Amerika Syarikat susulan pendiriannya mengenai Palestin.

Kontroversi tercetus selepas Macklemore menyuarakan sokongan terhadap Palestin ketika persembahan di MetLife Stadium, New Jersey, termasuk melaungkan seruan membebaskan Palestin.

Macklemore kemudian mendakwa pemilik Gillette Stadium, Robert Kraft, menghubungi Sheeran dan memberitahu konsert di venue berkenaan tidak dapat diteruskan sekiranya dirinya masih berada dalam barisan artis pembuka.

Pihak penganjur pula berkata keputusan tersebut dibuat selepas beberapa venue enggan menganjurkan persembahan jika Macklemore kekal dalam jelajah.

Dalam perkembangan sama, Macklemore turut mencabar Kraft supaya menyamai jumlah sumbangan berkenaan sambil menegaskan nilai kehidupan rakyat Palestin tidak seharusnya dipandang berbeza.

Tambah pelantun lagu Can’t Hold Us itu, bantuan kemanusiaan sahaja tidak memadai untuk menangani keadaan serta punca berlakunya krisis terbabit.

“Rakyat Palestin sudah berdekad-dekad hidup tanpa hak asas dan mereka tidak sepatutnya menunggu sehari lagi untuk mendapatkan kebebasan. Fokus saya akan terus kekal di situ,” jelasnya

Pada Selasa lalu, Sheeran menjelaskan menerusi media sosial bahawa keputusan menggugurkan Macklemore bukan diputuskan satu pihak, sebaliknya dibuat oleh penganjur serta pengurusan venue.

Menurut Sheeran, beberapa pemilik stadium tidak mahu menganjurkan persembahan sekiranya Macklemore kekal dalam barisan artis pembuka.

Dia turut berkata dirinya cuba menjadi pengantara antara pihak terbabit, selain menegaskan mempunyai pandangan peribadi mengenai konflik Israel-Palestin tetapi memilih tidak menjadikan persembahannya sebagai platform politik.

Sementara itu, Kraft mempertahankan keputusan berkenaan dengan merujuk kepada kenyataan Macklemore di pentas serta dakwaan mengenai sejarah retorik dan imej antisemitik lebih luas, satu perkara turut dilaporkan sebagai alasan pihak venue menghalang penyertaannya.

Susulan kontroversi tersebut, beberapa artis pembuka lain termasuk Finneas, Lukas Graham dan Aaron Rowe, selain kumpulan iringan Sheeran, Beoga, menarik diri daripada baki siri jelajah sebagai tanda solidariti terhadap Macklemore.

Persembahan Sheeran seterusnya dijadualkan berlangsung pada 19 September di Philadelphia sebelum meneruskan baki siri jelajah Amerika Utara dan Selatan sehingga persembahan terakhir di Mexico City pada 11 Disember.

Dalam perkembangan lain, kontroversi terbabit turut memberi kesan terhadap jumlah pengikut kedua-dua artis dalam Instagram.

Berdasarkan data firma analitik media sosial Social Blade seperti dilaporkan The Independent, Sheeran kehilangan 149,636 pengikut dalam tempoh 24 jam selepas Macklemore mengumumkan dirinya digugurkan daripada jelajah tersebut, menjadikan jumlah pengikutnya sekitar 47.3 juta.

Dalam tempoh sama, Macklemore pula merekodkan peningkatan sebanyak 1.5 juta pengikut, sekali gus melonjakkan jumlah pengikutnya melebihi 8.4 juta dalam platform berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Macklemore sumbang RM4.2 juta bantu rakyat Palestin appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved