Macron Terkandas Gara-Gara Jalan Ditutup Untuk Trump

WorldPolitics
23 Sep 2025 • 11:18 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

NEW YORK – Tiada apa yang lebih memeningkan warga New York yang sedang mengejar masa selain mendapati jalan utama ditutup kerana kehadiran pemimpin dunia. Itulah nasib yang menimpa Presiden Perancis, Emmanuel Macron ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin malam.

Ketika mahu melintas, jalan di hadapan Macron ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan kenderaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pada awalnya, Macron cuba memujuk anggota polis bertugas supaya membenarkannya menyeberang.

“Saya ada 10 orang bersama saya. Saya mahu ke Kedutaan Perancis,” katanya dalam video yang tular.

Namun, anggota polis berkenaan tetap dengan pendiriannya.
“Saya minta maaf, presiden. Semuanya dibekukan sekarang kerana motorcade akan lalu. Saya benar-benar minta maaf,” balas pegawai itu.

“Saya Cuba Runding Dengan Awak”

Tidak berputus asa, Macron sekali lagi cuba berunding.
“Saya runding dengan awak,” katanya sambil tersenyum.

Tetapi apabila gagal, Macron menggunakan cara luar biasa – beliau terus menghubungi Trump melalui telefon bimbitnya.

“How are you? Agak-agak apa? Saya terkandas di jalan kerana semuanya dibekukan untuk awak,” katanya sambil ketawa kecil.

Lapor The New York Times, Macron turut mengambil kesempatan berbincang dengan Trump mengenai isu Gaza bersama pegawai Qatar.

Akhirnya Dapat Lintas Jalan

Pejabat Presiden Perancis mengesahkan Macron memang terkandas ketika mahu meninggalkan bangunan PBB, namun kedua-dua pemimpin itu dilaporkan mengadakan perbualan “mesra dan baik” mengenai isu antarabangsa.

Selepas beberapa ketika, Macron dibenarkan melintas jalan. Rakaman dari media Perancis, Brut, menunjukkan beliau berjalan santai melewati gerai makanan dan sempat bergambar dengan orang ramai, malah seorang lelaki sempat menanam ciuman di dahinya.

Dalam kenyataan, Jabatan Polis New York memaklumkan ribuan anggota dikerahkan sepanjang minggu ini demi memastikan keselamatan orang awam dan pemimpin dunia.

“Terima kasih kepada Presiden Macron kerana mengiktiraf dedikasi dan usaha gigih anggota kami dalam menjaga acara tahunan ini,” kata kenyataan itu. – The Malaysian Update

The post Macron Terkandas Gara-Gara Jalan Ditutup Untuk Trump appeared first on The Malaysian Update.