MADA rancang laksana kaedah tabur terus kering, elak jadual musim padi terjejas

LocalFood
2 Apr 2026 • 4:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MADA rancang melaksanakan kaedah penanaman padi secara tabur terus kering di Kawasan Muda bagi musim penanaman padi akan datang sekiranya kemarau berpanjangan. Gambar kecil: Ismail

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merancang melaksanakan kaedah penanaman padi secara tabur terus kering di Kawasan Muda bagi musim penanaman padi akan datang sekiranya kemarau berpanjangan.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, setakat ini, sebanyak 72.1 peratus hasil padi selesai dituai di Kawasan Muda pada musim 2/2025 dan secara keseluruhannya pengeluaran tidak terjejas memandangkan kemarau berlaku ketika hujung musim.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, langkah secara tabur terus kering itu berkemungkinan diambil sebagai persediaan awal bagi memastikan jadual penanaman musim 1/2026 tanaman padi yang dijangka bermula pertengahan April depan tidak terjejas.

“Jadi, rancangan bagi musim depan kini bergantung sepenuhnya kepada keadaan empangan kita. Setakat ini, empangan kita tidak mengizinkan untuk kita lepaskan air bagi kegunaan pengairan padi. Paras air keseluruhan terlalu rendah, sekitar 39 peratus.

"Paras air Empangan Muda pada hari ini (Selasa) naik sedikit, tapi masih rendah. Jadi, kita rancang untuk memulakan penanaman secara air tidak ada iaitu kaedah tabur terus kering,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ismail memaklumkan, melalui kaedah itu, tanah akan dipersiapkan terlebih dahulu sebelum benih padi ditabur terus di atas permukaan tanah kering dan kemudian dipadatkan.

"Kaedah terbabit akan dilaksanakan dengan persediaan awal tanah melalui proses putaran tanah sebanyak satu hingga dua kali. Lepas putar, tabur kering padi itu

"Selepas itu, benih padi akan ditabur secara terus di atas permukaan tanah kering sebelum dipadatkan bagi memastikan benih berada dalam tanah bersama benih rumput serta padi angin," jelasnya.

Tambah beliau lagi, keadaan itu membolehkan benih kekal ‘dorman’ dalam tanah sementara menunggu kehadiran air, sebelum mula bercambah apabila hujan turun.

Menurutnya, pendekatan tersebut menjadi pilihan ketika ini susulan kekangan bekalan air yang tidak membolehkan pelepasan dilakukan untuk pengairan.

Bagaimanapun, kongsi beliau, sekiranya dalam tempoh satu hingga dua minggu keadaan hujan bertambah baik dan paras empangan kembali mengizinkan, pelepasan air masih boleh dilakukan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Kita tak mahu jadual penanaman itu lewat kerana ia akan menjejaskan musim seterusnya. Jadi, kalau air masih tak cukup, kita akan teruskan juga kaedah tabur terus kering ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kaedah tersebut pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk pada 2017, namun hasilnya didapati menurun sekitar 20 peratus berbanding kaedah biasa.

“Hasil mungkin turun kepada sekitar 3.5 hingga 4 tan kerana kekurangan ai. Air tidak ada, maka hasil akan kurang tetapi kita tiada pilihan jika keadaan berterusan,” menurut Ismail.