
Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memastikan tatakelola yang betul diutamakan dalam pentadbirannya. Malah, itu juga yang menjadi teras slogan pentadbirannya iaitu Malaysia Madani. Tetapi dengan melantik puterinya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan beberapa hari lepas, Anwar sebenarnya telah mengkhianati apa yang dijanjikannya.
Terdapat banyak sebab mengapa lantikan ini mengundang kemarahan ramai pihak. Pertama, dari segi latar belakang pengajiannya, beliau memegang ijazah dalam kejuruteraan dan dasar awam serta sosial. Itu saja sudah cukup sebagai alasan untuk tidak melantiknya sebagai penasihat. Walaupun itu bukan satu syarat utama dalam menentukan lantikan menteri dan timbalan menteri di kementerian kritikal termasuk Kementerian Kewangan, kelayakan sebegini seharusnya menjadi wajib bagi penasihat dan perunding.
Kedua, lantikan sebegini memperlihatkan elemen nepotisme secara jelas. Bukankah melantik ahli keluarga dalam kerajaan merupakan sesuatu yang salah dari segi moral? Jika diteruskan, ia seolah-olah menunjukkan Anwar lebih berminat mengukuhkan kedudukannya dalam kerajaan daripada mempraktikkan apa yang dilaungkannya selama ini. Dan ironinya, ini menjadikan beliau sama dengan musuh lamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketiga, ia secara tidak langsung mengikis saki-baki kredibiliti pada kerajaan perpaduan yang dibentuk pada November tahun lepas. Kredibiliti kerajaan ini sudah mula tercalar selepas Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun Presiden UMNO itu masih dibelenggu dengan kes mahkamah.
Kredibiliti kerajaan semakin terhakis lebih-lebih lagi bila Kabinet membuat pusingan U berkenaan manifesto PRU15 mereka atau membuat kenyataan yang tak cerdik kepada khalayak. Siapa tak boleh lupa kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berkenaan boikot ayam dan boikot restoran disebabkan harga mahal. Atau tindakan KDN yang diterajui Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mengekalkan SOSMA walaupun mengundang kritikan ahli parlimen PH.
Tindak-tanduk Zahid lebih banyak menyusahkan kerajaan termasuk Langkah Kinabalu dan memecat sebahagian penentangnya baru-baru ini. Tindak-tanduknya memperlihatkan kerajaan yang dibentuk hanya berminat mengekalkan kedudukan parti masing-masing tanpa mengambil kira kesusahan rakyat.
Dan lagi parah, Anwar menggunakan rakan-rakan parti kerajaan untuk mempertahankan lantikannya itu. Contoh mudah, kenyataan Datuk Seri Fadilah Yusof yang menyifatkan lantikan Nurul Izzah sebagai hak Perdana Menteri membuat lantikan. Jika keadaan ini berterusan, lambat-laun rakan-rakan parti kerajaan perpaduan akan hilang sabar dan menimbang semula kedudukan mereka dalam kerajaan.

Bagi rakan parti seperti GPS dan GRS, mereka pasti akan bimbang sebarang polisi yang bersifat negatif akan menjejaskan kedudukan mereka di Sabah dan Sarawak. Sudah pastinya, kedudukan selesa yang diraih dalam PRN sebelum ini akan hilang begitu saja.
Bagi BN pula, lantikan sebegini mencerminkan betapa teruknya pertimbangan Zahid yang terlalu mengikut kehendak rakan lamanya itu. Ini akan menjustifikasikan penentangan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang anti-PH. Ini sekaligus menjejaskan peluang pemimpin-pemimpin pro-Zahid dalam pemilihan parti termasuk undi protes susulan tindakan Zahid memecat beberapa pemimpin parti termasuk Khairy Jamaluddin.
Keempat dan terakhir, lantikan Nurul Izzah secara tidak langsung menjejaskan lantikan Tan Sri Hassan Marican sebagai penasihat kanan PM di Kementerian Kewangan. Benar, kedua-dua jawatan tersebut tidak disediakan elaun. Tetapi dengan mengambil Nurul Izzah, ia bakal mencetuskan persoalan tentang impak input yang diberi Hassan dan staf-staf kementerian itu termasuk dua timbalannya, Datuk Ahmad Maslan dan Steven Sim berbanding input puterinya itu.
Sudah pasti, elemen bias akan mencetuskan rasa tidak puas hati terutama dari segi penggubalan polisi kerajaan di peringkat kementerian. Silap haribulan, ia boleh saja merebak ke kementerian-kementerian lain lebih-lebih lagi jika ada yang mengikut jejak Anwar dengan melantik ahli keluarga atau rakan rapat sebagai perunding dan penasihat tak rasmi.
Anwar perlu sedar, lantikan Nurul Izzah sudah mencalarkan slogan Malaysia Madani yang dibawanya. Jika rakan-rakan gabungan kerajaan turut membawa kroni atau ahli keluarga dalam kerajaan, bermakna apa saja laungan berkenaan tatakelola dan peraturan hanyalah retorik. Dan itu cukup dijadikan modal untuk mengenakan BN-PH pada PRN enam negeri akan datang.
Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
