SHAH ALAM - Pemuda MCA menyifatkan pelaksanaan Madani Mart hanya mengulangi konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan itu dilihat sekadar penjenamaan semula program termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH).
"Ketika BN melancarkan KR1M, pemimpin pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) ketika itu mengkritiknya secara keras menyifatkannya sebagai pembaziran dana awam, penyelesaian jangka pendek, serta menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan kronisme.
"Kini, apabila PH berada dalam kerajaan, konsep yang sama diperkenalkan semula dengan nama baharu. Menukar 'label' tidak mengubahnya menjadi tadbir urus yang baik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Yee Fung, model perniagaan itu juga turut berdepan dengan ketidakselarasan dan ketelusan susulan dakwaan bahawa kerajaan tidak menyediakan pembiayaan untuk Madani Mart.
"Jika kerajaan tidak membiayai program ini, siapakah yang menanggung kosnya? Apakah sumber kepada apa yang disebut sebagai Yayasan Madani? Tidakkah orang ramai berhak mendapat penjelasan yang jelas?
"Bagaimanakah Madani Mart boleh menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran tanpa subsidi kerajaan? Adakah semua 640 peniaga yang terlibat secara sukarela menanggung kerugian atau mengurangkan keuntungan semata-mata atas dasar tanggungjawab sosial korporat?
"Jika ya, berapa lama perkara ini boleh bertahan?," soal beliau.
Yee Fung turut menyifatkan mekanisme pelesenan dan pembayaran royalti oleh peniaga berpotensi menjejaskan daya tarikan penyertaan di samping mempersoalkan keperluan mendapatkan bekalan daripada pengedar tertentu.
"Jika ini bukan sistem francais, mengapa pengedar tertentu diwajibkan? Adakah mereka dipilih melalui tender terbuka? Tanpa proses yang telus, orang ramai tidak dapat diyakinkan bahawa tiada unsur kronisme terlibat.
"Jika Madani Mart tidak menerima subsidi dan harga ditentukan oleh kuasa pasaran, ia pada asasnya hanyalah sebuah kedai komuniti biasa.
"Dengan peruncit sedia ada seperti 99 Speedmart, KK Super Mart, Mydin, Jaya Grocer, TF Value-Mart dan Econsave yang telah lama berkhidmat kepada masyarakat, penubuhan satu lagi platform dilihat sebagai berlebihan," ujarnya lagi.
Sayap pemuda parti itu turut menggesa kerajaan mendedahkan keseluruhan jumlah perbelanjaan, keadilan sistem dan pelaksanaan tender terbuka jika benar subsidi disediakan untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.
Yee Fung berkata, kerajaan wajar mengambil langkah lebih berkesan dalam menangani kos sara hidup dengan memberikan baucar makanan dan rakyat boleh memberi barangan secara bebas daripada rangkaian kedai runcit sedia ada.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan outlet pertama Madani Mart di Indera Mahkota, Pahang pada Jumaat dan menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 outlet di seluruh negara.
