Madani perlu pengisian ikut konsep tempatan: Hajiji

14 Feb 2023 • 5:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA KINABALU: Konsep Malaysia Madani sebagai satu acuan besar nasional, perlu diterjemah secara lebih spesifik dengan pengisian terbaik mengikut konteks tempatan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata gagasan membangun Malaysia Madani amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di Sabah, termasuk dalam landskap serta ekosistem tempatan negeri ini.

“Kita mengakui bahawa konsep Malaysia Madani sememangnya sudah pun berciri menyeluruh dan inklusif. Namun begitu, kita perlu juga sedar bahawa Malaysia Madani adalah sebuah kerangka kebangsaan yang bersifat sejagat dan terbuka.

“Justeru, adalah penting proses 'localisation', atau menterjemah gagasan besar kebangsaan kepada konteks tempatan secara lebih spesifik. Sebagai satu acuan besar nasional, Malaysia Madani perlukan pengisian terbaik yang lebih khusus sifatnya, mengikut konteks tempatan,” katanya berucap merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, selain aspirasi lokal yang masih belum mendapat tempat yang cukup kukuh dalam citra kebangsaan.

“Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan yang unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani. Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini, supaya hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi dengan ciri lokal.

“Dalam bahasa mudah, kita perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani kepada landskap dan ekosistem negeri Sabah. Saya percaya, dalam mewujudkan sebuah negara yang benar-benar Madani, proses itu haruslah dipacu oleh prinsip keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi serta budaya, yang memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan bersuara,” katanya.

Sebagai sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai latar etnik, geografi dan sejarah yang pelbagai, katanya Sabah boleh mengambil posisi di hadapan bagi menterjemah ciri-ciri Madani ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kedua-dua gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berkongsi aspirasi serta impian yang sama iaitu ingin melihat sebuah negara atau negeri yang berjaya dan maju dengan acuan kemanusiaan yang murni.

“Justeru, konsep membangun Malaysia Madani ini bertepatan dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri selepas menerajui kerajaan pada September 2020.

“Sebagai contoh, antara inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah untuk mengukuhkan sosioekonomi rakyat dan membuat agihan kemakmuran yang lebih inklusif. Bagi konsep Malaysia Madani pula, antara matlamatnya adalah untuk mengurangkan kemiskinan dan mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Dengan menggabungkan kedua-dua inisiatif ini, kerajaan mempunyai pendekatan yang lebih komprehensif dalam meningkatkan kemajuan serta pembangunan negeri, yang sejajar dengan kerangka kebangsaan dan hasrat tempatan,” katanya. -Bernama