Sekumpulan remaja yang menunggang basikal lajak secara berbahaya menerima denda ketuk ketampi selepas ditahan dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, malam ambang tahun baharu 2025.
Tindakan ini mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada NGO yang menganggap ia tidak berlandaskan undang-undang.
Hukuman untuk beri kesedaran
Dalam video tular di media sosial semalam, lebih 20 remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun dilihat melakukan ketuk ketampi sambil diperhatikan beberapa anggota polis trafik.
Mereka ditahan sekitar jam 11.30 malam dalam operasi bersama melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata tindakan tersebut diambil sebagai langkah advokasi dan amaran kepada remaja terbabit. Hukuman ini juga bertujuan memberi kesedaran serta peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri dan memahami peraturan jalan raya.
“Remaja ini kemudiannya disuraikan dengan peringatan agar tidak menunggang basikal lajak dan terus pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
NGO Madpet kritik tindakan pihak berkuasa
Namun, tindakan ini menerima kritikan daripada Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet). Menurut jurucakapnya, Charles Hector, berkata tindakan tersebut dianggap melanggar undang-undang dan menjatuhkan maruah kanak-kanak.
Beliau turut menggesa agar Ketua JSPT Kuala Lumpur disiasat Mohd Zamzuri Mohd Isa disiasat dan didakwa di mahkamah atas jenayah terhadap kanak-kanak.
“Tugas polis dan penguatkuasaan undang-undang hanyalah untuk menangkap dan menyiasat, dan bukan menghukum pelanggar undang-undang dengan sebarang bentuk penyeksaan atau layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah.
“Teguran lisan dan/atau nasihat mungkin boleh diterima, tetapi pastinya tiada bentuk layanan yang merendahkan maruah.
“Bolehkah hukuman atau layanan sedemikian dikenakan ke atas kanak-kanak oleh penguatkuasa undang-undang, tanpa pengetahuan dan/atau persetujuan ibu bapa?
“Madpet juga meminta ketuk ketampi disifatkan sebagai hukuman dera, dan tidak boleh digunakan sebagai satu bentuk hukuman ke atas kanak-kanak di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja,” katanya.
Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini
The post Madpet gesa polis disiasat kerana denda ketuk ketampi geng basikal lajak appeared first on The Reporter.


