
KUCHING: Usaha pemodenan sektor agromakanan merupakan pemangkin bagi menarik minat bakat muda menceburi bidang tersebut, dan seterusnya mengalakkan penjanaan peluang pekerjaan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Chan Foong Hin (gambar) berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom di sini, hari ini.
MAFS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu antara lain membincangkan kerjasama dua hala dalam mengeratkan kerjasama strategik MAFS dan kerajaan negeri Sarawak dalam memastikan keterjaminan makanan negara.
“Kedua-dua pihak bersedia memberikan komitmen bagi memperkukuhkan bekerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya perkongsian data dan maklumat pertanian, pemasaran produk tempatan ke pasaran antarabangsa, dan pemantapan program latihan pertanian dan program Agropreneur Muda,” menurut kenyataan itu.
Kunjungan itu juga bersempenan lawatan sulung Chan ke Sarawak sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 9 Dis tahun lalu. - Bernama
