MAG berdepan kemerosotan margin akibat ringgit kukuh, kos pengangkutan mahal – Mercury Securities

LocalBusiness & Finance
23 Apr 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAG berdepan kemerosotan margin akibat ringgit kukuh, kos pengangkutan mahal – Mercury Securities Image from: MAG berdepan kemerosotan margin akibat ringgit kukuh, kos pengangkutan mahal – Mercury Securities amree23/04/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 April – Pengukuhan ringgit serta kenaikan kos pengangkutan global kini menjadi tekanan utama kepada pemain akuakultur termasuk MAG Holdings Berhad, menurut Mercury Securities


Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan dijangka berdepan dengan penyusutan margin dalam tempoh jangka pendek, disebabkan kebergantungan besar kepada mata wang asing dan logistik.


Sehubungan itu, ia menurunkan penarafan saham syarikat tersebut kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’, selain menyemak turun harga sasaran (TP) sesaham kepada 15 sen berbanding 20 sen sebelum ini.


"Kira-kira 60% hasil MAG adalah dalam dolar Amerika Syarikat (AS), menjadikan pengukuhan ringgit memberi kesan langsung kepada nilai pendapatan eksport," kata Mercury Securities dalam notanya.


Pada masa sama, gangguan rantaian bekalan global meningkatkan kos penghantaran, dan syarikat tidak dapat memindahkan sepenuhnya caj logistik tersebut kepada pelanggan tanpa menjejaskan daya saing.


Walaupun syarikat itu menaikkan harga jualan purata (ASP) eksport lebih 10%, tekanan margin masih ketara kerana persaingan daripada negara serantau seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.


Dari sudut operasi pula jelas Mercury Securities, kadar penggunaan kemudahan pemprosesan MAG masih lagi rendah iaitu sekitar 40% berbanding kapasiti terpasang yang sepatutnya 12,000 tan setahun.


"Keadaan ini mencerminkan kekangan bekalan daripada operasi ladangnya sendiri serta pergantungan tinggi lebih 60% kepada sumber pihak ketiga kerana masih di peringkat awal perniagaan," ujarnya.

MAG Holdings_DagangNews


Situasi ini mendorong firma penyelidikan berkenaan menurunkan unjuran keuntungan bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 13% dan 11%, dengan andaian margin keuntungan kasar yang lebih rendah.


Selain itu kata Mercury Securities, sumbangan penternakan kontrak dijangka kekal kurang 10% dalam jangka pendek, berikutan kekangan kapasiti kolam dan proses pengembangan MAG yang masih berjalan.


Mengulas prestasi kewangan, kerugian bersih dilaporkan bagi FY25 adalah disebabkan peruntukan sekali sahaja sebanyak RM243.9 juta berkaitan dengan isu pinjaman kepada bekas anak syarikatnya.


"Sebaliknya, tanpa daripada kesan berkenaan, keuntungan operasi teras yang sebenarnya adalah kekal masih stabil dengan margin sebelum cukai pula mampu mencecah sekitar 14%,"  kata firma tersebut.


Kunci kira-kira MAG setakat ini ujar Mercury Securities, bagaimanapun masih kukuh dengan tunai sebanyak RM109.6 juta, manakala nisbah semasa 2.5 kali dan gearan bersih rendah pada 0.37 kali.


Dalam jangka panjang, ia masih melihat asas perniagaan syarikat itu kekal menarik sebagai antara pemain akuakultur bersepadu utama di Malaysia dengan rangkaian ekosistem yang cukup lengkap. 


Perkembangan ini tambah firma penyelidikan berkenaan, bermula daripada proses penetasan benih hingga pengedaran, serta akses kukuh ke pasaran eksport bernilai tinggi di beberapa negara Asia.


"Prospek jangka pendek MAG dijangka mencabar dengan pemulihan margin banyak bergantung kepada pergerakan kadar tukaran dolar AS serta kestabilan kos logistik global," kata Mercury Securities.


Secara keseluruhan, walaupun asas perniagaan kekal utuh, syarikat itu dilihat memerlukan masa mengatasi tekanan luaran sebelum kembali mencatat pertumbuhan keuntungan kukuh. - DagangNews.com

Terkini standard